PAS tunggu tarikh MB Selangor

PAS masih menunggu tarikh daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengadakan pertemuan bagi membincang pelbagai isu yang melibatkan kerajaan negeri itu.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tarikh pertemuan itu masih belum ditetapkan lagi.

“Kita serah kepada menteri besar untuk tentukan tarikh pertemuan itu. Setakat ini tarikh belum ditentukan lagi,” ujarnya ketika ditemui selepas melepaskan peserta 10,000 langkah pada Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.6 di Batu 24, Kuala Berang, pagi ini.

Katanya, sehingga kini tiga Exco Kerajaan Selangor daripada PAS meneruskan tanggungjawab masing-masing yang mendapat rakyat pada Pilihan raya Umum ke-13 lalu.

“Kita hari ini kekal dalam kerajaan negeri kerana kita mendapat mandat rakyat dalam kerajaan campuran di Selangor, PAS bukan menumpang. Pada PRU13 lalu PAS mendapat 15 kerusi,” ujarnya lagi.

Tambahan pula, katanya tinjauan mendapati rakyat Selangor berpuas hati dengan peranan yang dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan oleh Exco kerajaan negeri daripada PAS.

Justeru, beliau berharap tidak ada pihak yang cuba bertindak mengganggu keharmonian kerajaan negeri yang ada sekarang.  

“Suasana di Selangor adalah stabil dan jangan ada pihak yang mahu mengganggu perjalana kerajaan yang ada sekarang,” ujarnya lagi.

Mesyuarat PAS Pusat yang diadakan pada 18 Mei lalu memutuskan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor bagi membincang pelbagai isu yang melibatkan Kerajaan Negeri Selangor dalam masa terdekat.

PAS akan diwakili oleh Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Agung. – HARAKAHDAILY 20/5/2017