PRU: Ambil kesempatan lahir rasa hati

RAKYAT mesti mengambil peluang pada pilihan raya umum untuk membuat perubahan dan menentukan pemerintahan.

Advertisement

Pengarah Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.6, Yahaya Ali berkata, rakyat mestilah sentiasa ingat dan mengambil kesempatan melahirkan rasa hati mereka.

“Rakyat mesti ingat peluang lima tahun sekali adalah peluang yang terbaik.

“Kalau rasa bimbang atau tidak puas hati, dan marah dengan kos hidup yang melambung, GST, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, kejatuhan mata wang, inilah masa yang terbaik untuk membuat perubahan,” ujarnya ketika berucap pada majlis penutup Harap-PGU 3.6 di Batu 24, Kuala Berang, malam tadi.

Justeru, katanya, PAS tidak kisah walaupun kerajaan Umno BN negeri meniru lima manifesto awal PAS Terengganu yang ditawarkan pada Harap-PGU 3.5 di Besut, Februari lalu.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri menambah, apa yang penting rakyat Terengganu khususnya mendapat manfaat daripada apa  yang disuarakan oleh PAS.

“Namun yang penting rakyat mendapat faedah,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Justeru itu, kata beliau PAS akan menawarkan lima lagi manifesto tambahan menjadikan sepuluh semuanya yang akan PAS laksanakan sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada PRU14 nanti.