Penduduk miskin sukar miliki rumah sendiri

BUKIT Gedombak bakal menjadi bandar kedua terbesar di Pasir Puteh apabila projek pembangunan di kawasan seluas 88.26 ekar dijalankan tidak lama lagi.

Advertisement

Projek perumahan bercampur itu bernilai lebih RM300 juta dibangunkan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dengan usahasama Asiaric Contruction Sdn Bhd.

Pengurus Asiaric Contruction, Datuk Teow Chee Hwa berkata, sebanyak 109 unit rumah dua tingkat akan dibina bagi fasa 1.

“Ia akan mula dibina tidak lama lagi. Sekiranya fasa 1 mendapat sambutan menggalakkan fasa ll pula akan dibina rumah kedai.

“Saya yakin perumahan itu akan mendapat sambutan masyarakat kerana kedudukannya begitu strategik dan bakal menjadi bandar kedua di Pasir Puteh,” katanya selepas perjanjian persefahaman lanjutan projek pembangunan bercampur Taman Putra di sebuah hotel di Kota Bharu hari ini.

Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Yang Dipertua MDPP, Mohd Anis Hussin dan setiausaha, Ahmad Shargowi Derahman.  

Pada perjanjian itu Mohd Anis mewakili MDPP dan Asiaric Contraction diwakili Chee Hwa.

Sementara itu Abdul Fattah berkata, kerajaan Persekutuan wajar mewujudkan Bank Perumahan bagi memberi peluang rakyat membuat pinjaman untuk memiliki kediaman sendiri.

Ini kerana katanya, pinjaman perumahan begitu sukar untuk dilulus sekarang.

“Ini menyebabkan ramai penduduk yang kurang berkemampuan tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana gagal mendapat pinjaman dari institusi kewangan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/5/2017