Semoga Titiwangsa kembali ke tangan PAS

SETIAP petugas parti supaya ikhlas dalam berjuang dan bersedia untuk infaq kepada perjuangan sama ada dari segi harta, tenaga, pemikiran, idea, kemahiran dan sebagainya.

Advertisement

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, parti memerlukan pejuang-pejuangnya yang ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan selain keredhaan Allah SWT dan sebagai persaingan untuk merebut pahala dan ganjaran yang telah dijanjikan-Nya.  

Beliau berkata, keikhlasan dalam diri perlu dibuktikan dengan secara zahir iaitu infaq fisabilillah.  

“Inilah contoh yang telah ditunjukkan oleh sahabat-sahabat besar Rasulullah SAW seperti Sayyidina Abu Bakar As-siddiq, Sayyidina Umar Al-Khattab dan lain-lain sahabat,” ujarnya pada majlis hi-tea bagi mengumpul dana Pilihan raya Umum ke-14 anjuran PAS Titiwangsa di Darul Ummah, Kampung Pandan, Kuala Lumpur kelmarin.

Justeru, ujarnya semua peringkat parti sama ada pimpinan dan  pengikut wajiblah mengikhlaskan diri dalam perjuangan supaya amalan ikhlas akan dibawa oleh malaikat ke langit.

“Jika telah cukup amalan ikhlas kita, barulah Allah SWT akan memandang kita dan mengurniakan kemenangan kepada PAS setelah cukup syarat-syarat kemenangan itu,” ujarnya lagi.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan kerana berani mengumumkan bahawa PAS akan bertanding sembilan daripada 13 kawasan parlimen dalam Wilayah Persekutuan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berdoa semoga Titiwangsa akan kembali ke tangan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau menekankan sekali lagi tentang keikhlasan kerana Allah tidak memandang nilai sumbangan kita sama ada sedikit atau banyak, tetapi nilai keikhlasan itulah yang menjadi perhatian dan penilaian Allah SWT.