Azam Ramadhan pada tahun ini

ALHAMDULILLAH Ramadhan muncul lagi. Maqbul permohonan kita kepada Allah sejak daripada bulan Rejab dan Syaban supaya kita dapat sampai ke dalam bulan Ramadhan. Alhamdulillah kita berjaya menjejak kaki ke dalam bulan Ramadhan pada tahun ini. Ramai di sana mereka yang tidak sempat bersama Ramadhan pada tahun ini kerana dijemput oleh Allah SWT terlebih dahulu. Ada di kalangan mereka ialah ibu bapa kita, suami atau isteri, anak menantu, jiran tetangga dan mereka yang rapat dengan kita. Manakala kita pula merupakan senarai menunggu ke sana. Entah bila tidak ada siapa yang ketahui. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan mati”.

Advertisement

Gembiralah kita,  ketika menyambut Ramadhan dengan penuh keinsafan dan mengetahui nilai Ramadhan. Ia bukan sebarang bulan, tetapi ia adalah penghulu segala bulan. Bulan yang dinanti dan dirindu oleh mereka yang beriman. Tetapi bulan yang dibenci oleh mereka yang tidak beriman. Mereka anggap bulan yang membebankan dan menyiksa tubuh badan.

Saidina Umar al-Khattab RA apabila telah tiba bulan Ramadhan beliau berkata “Selamat datang Ramadhan, bulan yang membersihkan kami, sebab Ramadhan semuanya baik. Siang hari kami berpuasa dan malamnya mendirikan amalan sunat. Sedekah pada bulan ini sama dengan belanja untuk perjuangan jihad fisabilillah”.

Hamba Allah yang mengetahui kelebihan Ramadhan akan bertungkus lumus, segala ruang akan diisi dengan amal kebaikan. Kerana memikirkan belum pasti tahun hadapan mereka akan temui lagi Ramadhan.

Marilah kita sama-sama berazam dan bertekad untuk tahun ini:

1. Memperbaiki kualiti Ramadhan, bukan sahaja menahan makan minum dan tidak melakukan perbuatan yang membatalkan puasa. Malahan lebih daripada itu.

2. Berazam untuk mencapai darjat taqwa, sebagai mana hikmah syariat Allah SWT kepada kita.

3. Lebihkan amalan tazkiah al-Nafs (pembersihan jiwa) untuk mendapat satu kekuatan bagi melaksanakan tanggungjawab perjuangan.

4. Perbanyakkan doa, kerana ia adalah senjata orang mukmin. Doalah kepada Allah semoga Allah teguhkan iman dan istiqamah dengan perjuangan Islam.

5. Berazam untuk bersedekah walaupun sedikit. Jadikan ia amalan harian. Bersedekahlah sehingga kaya, jangan tunggu kaya baru hendak bersedekah.

6. Hidupkan amalan di malam Ramadhan dengan tarawih, qiam, tadarus al-Quran.

7. Kejutkan ahli keluarga untuk menghidupkan malam Ramadhan.

8. Bertekad untuk khatam al-Quran sepanjang Ramadhan.

9. Berikan jamuan untuk orang berbuka puasa. Mungkin kita tidak mampu untuk jemput orang ke rumah kita. Tetapi boleh kita berikan kepada pihak masjid, surau, markaz tarbiah, rumah anak yatim, mahad tahfiz walau pun RM1.

10. Berazam untuk hidupkan 10 terakhir Ramadhan, kerana malam-malam tersebut merupakan buruan orang yang mengetahui nilai Ramadhan.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
29 Sya’ban 1438 / 26 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 26/5/2017