Ramadan, ujian dan aspirasi muslim bertaqwa

PASSwakR

RAMADAN adalah peluang terbesar bagi muslim mengecap ketaqwaan takut dan taat pada Allah). Melalui puasa yang matlamat akhir nya adalah takwa. Orang yang berpuasa telah melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Advertisement

Dalam surah al-Baqarah ayat 183, yang membahas tentang ibadah puasa.  Sebagaimana dalam ayat al-Qur’an yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang berimanu, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa” (QS. Al Baqarah: 183)

Sifat orang yang bertakwa ialah mereka beribadah, muamalat, bergaul, berbuat baik apabila teringat dalil yang menjanjikan ganjaran dari Allah SWT, bukan pada ikut-ikutan, tradisi, taklid buta, atau orientasi duniawi.

Begitu juga, orang yang bertakwa adalah sentiasa takut untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya, kerana dia teringat akan hujah-hujah yang mengancam dengan azab yang dahsyat. Dari sini kita tahu bahawa iman tidak mungkin tanpa cahaya Allah, ilmu terhadap dalil al-Quran dan sunnah Nabi Shallallahu’alaihi.

Jika seseorang memenuhi kriteria ini, layaklah ia menjadi hamba yang mulia di sisinya:

“Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kalian” (QS. Al Hujurat: 13)

Orang-orang yang berpuasa menahan diri daripada yang diharamkan oleh Allah dalam bentuk makan, minum, hubungan seks dan lain-lain. Manakala jiwa manusia mempunyai kecenderungan untuk semua itu dan ia telah meninggalkan semuanya untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan ganjaran daripada-Nya. Ia adalah satu bentuk ketakwaan.

Orang yang berpuasa melatih dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah untuk menjauhkan diri dari perkara-perkara yang disukai oleh hawa nafsunya, sedangkan dia mampu untuk makan, minum atau berjimak tanpa dilihat, tetapi dia meninggalkannya kerana dia sedar bahawa Allah memerhatikannya.

Puasa menyempitkan pergerakan syaitan dalam aliran darah manusia, jadi pengaruh syaitan menjadi lemah. Akibat daripada perbuatan yang tidak bermoral boleh dikurangkan.

Berpuasa secara umum boleh memperbanyak ketaatan kepada Allah, dan ini adalah tabiat orang yang bertakwa.

Dengan berpuasa, orang kaya merasakan kesakitan kelaparan. Jadi ia akan menjadi lebih prihatin kepada orang-orang fakir yang kurang bernasib baik. Dan ini juga tingkah laku orang yang bertakwa.

Sempena dengan kedatangan bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini, PAS Sarawak ingin mengucapkan selamat melaksanakan ibadah puasa dengan penuh ketakwaan sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Quran dan sunnah Rasullullah.

Semoga amalan kita diterima Allah dan doa kita dikabulkan Allah untuk terus istiqamah hingga mencapai kejayaan baik di dunia mahu pun di akhirat kelak.

JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS, Sarawak – HARAKAHDAILY 26/5/2017

PASSwakR