Prihatin kebersihan elak kes denggi meningkat

Orang ramai disaran mengubah sikap ambil mudah tentang kebersihan persekitaran kawasan kediaman apabila ia adalah punca utama berlakunya peningkatan kes demam denggi.

Advertisement

Setiausaha Majlis Perbandaran Klang (MPK), Adil Faizal Ahmad Tarmizi berkata, sikap tidak endah segelintir masyarakat dengan kebersihan kawasan penyebab utama kes itu meningkat.

“Terdapat di beberapa kawasan sekitar Klang yang saya dapati masih ada penduduk yang tidak kesah tentang kebersihan di sekitar kawasan kediaman mereka.

“Di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) kita telah menjalan tugas membersihkan di kawasan perumahan, namun di dalam rumah kita tidak ada kuasa untuk masuk tanpa kebenaran pemilik.

“Oleh itu, pemilik premis mahupun kediaman perlu bekerjasama dan pupuk sikap ambil peduli agar kita dapat bebas dari ancaman denggi,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Karnival Peduli Rakyat di Dewan Orang Ramai, Taman Eng Ann, Klang, hari ini.

Faizal berkata, pihaknya sentiasa merancang keperluan masa hadapan bagi menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk pemuliharaan alam sekitar.

“Kita bukan sahaja melantik kontraktor tetapi kita juga turun padang untuk memantau sendiri kawasan seliaan kami.

“Walaupun kes menunjukkan penurunan namun tindakan memantau serta memusnahkan kawasan berpotensi denggi perlu diteruskan,” katanya.