Ramadhan uji mahasiswa jalani peperiksaan

Seperti kebiasaannya, bulan Mei dan Jun merupakan tarikh yang sangat penting bagi mahasiswa universiti kerana selang beberapa hari lagi mahasiswa bakal menghadapi peperiksaan akhir semester. Ketibaan Ramadhan al-Mubarak kali ini menguji mahasiswa jalani peperiksaan kerana bakal menghadapi Ramadhan dan peperiksaan sekali gus.

Advertisement

Walau bagaimanapun, ketibaan bulan Ramadhan begitu dinanti oleh setiap lapisan umat Islam dan segala amalan baik adalah sangat dituntut, malah digandakan pahalanya. Kita sepatutnya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi ruang dan peluang bertemu dan menikmati bulan yang mulia ini.

Ketibaan Ramadan tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk mahasiswa bersikap sambil lewa, tidak bersemangat dan kurang produktif lebih-lebih lagi dalam tempoh menempuhi peperiksaan akhir semester kerana puasa dan peperiksaan merupakan dua perkara yang sangat penting bagi umat Islam.

Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu dan pada masa yang sama tidak meninggalkan perkara yang wajib seperti berpuasa maka perlu disedari bahawa mahasiswa perlulah berusaha untuk menghadapi peperiksaan dan menjalani ibadah puasa dengan sebaiknya.

Adalah sesuatu yang merugikan bagi mahasiswa yang hanya mengejar kejayaan dalam peperiksaan dan mengabaikan bulan Ramadhan ini. Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh At Tirmizi yang bermaksud “berapa banyak orang yang berpuasa namun tidak mendapat apa-apa dari puasanya selain lapar dan dahaga” (Riwayat At-Tirmizi).

Oleh itu, mahasiswa hendaklah menyusun jadual dengan teratur antara mengulangkaji mata pelajaran dan menunaikan amalan-amalan yang disarankan sepanjang bulan ini supaya semuanya berjalan dengan baik dan sempurna.

Antara amalan-amalan sunat di bulan Ramadhan ialah menunaikan solat terawih, qiamullail, memperbanyakkan tadarus al-quran dan amalan-amalan sunat lain bagi membesarkan bulan ini disamping mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Mahasiswa yang mempunyai hala tuju sentiasa membuat pertimbangan dan keputusan terbaik dalam kehidupannya dan sedar bahawa ketika membina kecemerlangan, aspek kerohanian juga memainkan peranan penting bagi menjamin kejayaan bukan sahaja di dunia seterusnya sebagai bekalan di akhirat kelak.

Ia adalah penanda aras kepada mereka untuk berusaha dengan lebih lagi ketika berbicara tentang kelebihan menuntut ilmu selaras dengan tuntutan individu yang bergelar mahasiswa.

Akhir kata, mahasiswa perlulah sentiasa meningkatkan keimanan terhadap Allah SWT dalam keadaan apa pun kerana bulan Ramadhan hanyalah ujian bagi menentukan tahap keimanan mahasiswa ketika menjalani peperiksaan di bulan ini.

Pelajar ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia.