Anggota PAS perlukan S.O.P (Respons kepada tulisan Timbalan Presiden)

1. Secara peribadi saya mengesali sikap sesetengah ahli dan pimpinan yang memuat naik status di media sosial yang tidak selari dengan konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera BPMS sehingga membawa imej buruk kepada PAS. Begitu juga dengan ucapan beberapa pimpinan yang agak tidak baik untuk imej PAS. Sikap cybertrooper kita dalam peperangan siber turut menjadi sebab PAS yang kita cintai ini terpalit imej yang negatif.

Advertisement

2. Namun kita tidak boleh salahkan mereka 100%. Semua kelemahan ini perlu dimuhasabah oleh semua peringkat. Benar tindakan mereka kadang-kadang tersilap. Tetapi kesilapan yang berulang-ulang dari pelbagai peringkat menunjukkan kesilapan itu berpunca dari kelompangan dalam sistem. Ataupun kerana tiada sistem.

3. Teguran yang dibuat oleh Timbalan Presiden PAS melalui kenyataan medianya bahawa ahli dan pimpinan perlu berhati-hati membuat kenyataan di media sosial adalah perkara yang perlu dipuji. Ia satu tindakan yang berani dan sangat sesuai sebagai seorang pimpinan atasan. Ia boleh dikatakan suatu langkah pencegahan bukan sekadar rawatan.

4. Tetapi dengan keadaan organisasi PAS yang semakin besar dan luas ini, perlu ada suatu langkah yang lebih konkrit dan sistematik. Tidak cukup dengan nasihat umum tetapi perlu lebih menjurus kepada panduan yang lebih terperinci. Tidak padan dengan arahan dan kenyataan, tetapi perlu kepada bimbingan a to z. Sebagai contohnya perlu ada garis panduan mengendalikan akaun media sosial terutama untuk pimpinan, garis panduan penyampaian ucapan, dan juga tatacara cybertroopers.

5. Zaman semakin mencabar. Media sosial bukan lagi perkara yang boleh dianggap enteng oleh PAS. Kerajaan kini sedang merangka berbagai akta yang berkait dengan media sosial dan internet. Mereka juga mengambil langkah yang pro aktif seperti mewujudkan pusat pengesahan maklumat untuk orang awam, bekerjasama dengan institusi agama, kempen kesedaran sosial dan banyak lagi.

6. Justeru pihak dalam PAS perlu mengambil langkah pro aktif untuk menangani hal ini. Sebagai contoh Lujnah Undang-Undang boleh membincangkan beberapa perkara yang berkait dengan perundangan melibatkan media sosial. Dewan Ulama boleh mengadakan muzakarah dalam hal berkait hukum. Lajnah pemerkasaan mengeluarkan garis panduan kepada ahli dan pimpinan berdasarkan kajian daripada PPP, ISP dan input daripada Luham dan Dewan Ulamak.

7. Saya yakin dengan tindakan pro aktif ini bukan sahaja masalah yang dialami kini boleh dikawal, tetapi PAS juga akan dilihat profesional dan memiliki daya pentadbiran yang meyakinkan untuk menggalas tugas pentadbiran kerajaan.

Kita boleh belajar dari pengalaman BPMS. Idea asal adalah daripada Tuan Guru Presiden PAS. Tetapi Al-Marhum Profesor Khazani telah mengambil langkah proaktif menyusun pembawaan Presiden itu menjadi lebih sistematik dengan diperkenalkan, definisi, kriteria dan disusun strategi pembawaannya supaya sampai bukan sahaja kepada seluruh ahli, bahkan turut dirasai oleh pihak luar.

8. Mungkin pemimpin PAS memiliki banyak lagi idea yang bernas dan baik. Tetapi ia tidak akan menjadi suatu legasi yang konsisten dan konstruktif andainya langkah menyusun secara sistematik tidak diambil. Al-Marhum Prof Khazani sangat mementingkan perkara ini dan berulang kali menyebut.

PAS memiliki skruktur organisasi yang cukup baik. Tetapi dari sudut peranan dan bidang tugas, banyak yang masih kabur menyebabkan berlaku pertindihan dan lompang dalam hal-hal eksekutif. Cita-cita beliau menerusi ISP dan Lajnah Pemerkasaan sesi ini adalah bagi menyusun kembali strategi pentadbiran agar lebih sistematik. Setiap organ dalam PAS bakal memiliki SOP tersendiri yang tentu bakal meningkatkan mutu kualiti kerja kita secara tak langsung.

9. Di sinilah perlunya golongan profesional dalam PAS mengambil sikap berani untuk membantu PAS memperbaharui sistem pentabdiran. Perlu ada sikap berinisiatif atau orang Terengganu kata ‘wat bbijok’. Jangan hanya menunggu arahan sahaja kerana mengikut pengalaman berjemaah yang saya lalui, kadang-kadang pemimpin pun tak tahu nak keluarkan arahan apa (dengan maaf).

Inilah maksud wala’. Wala’ bukan sekadar taat. Ahli bawah yang memiliki kepakaran perlu cuba merangka proposal yang meyakinkan supaya mudah untuk pimpinan faham. Kalau sekadar cadangan kosong, memang susahlah mereka terima.

10. Diharapkan mesej ini tidak dipandang dari sudut yang negatif. Sengaja saya lontarkan perkara ini secara terbuka supaya semua pihak boleh memainkan peranan. Bukan bertujuan untuk memperlihatkan kelemahan sesiapa tetapi demi kebaikan jemaah yang kita cintai jua.

Walaupun mungkin kita belum memasang strategi untuk mentadbir negara, tetapi transformasi ke arah itu sudah perlu diambil dari semalam lagi.

Wallahualam a’lam bilssowab. Salam Ramadhan
Ahli PAS Prihatin

(Alang Ibn Shukrimun)