PAS sedia bersama rintis tambahbaik ordinan syariah

UNDANG-undang Syariah adalah milik Allah SWT yang amat mengetahui hikmah perintah itu dan menjadi tanggungjawab kerajaan memerintah selaku khalifah-Nya di muka bumi menggubal serta menguatkuasakannya menepati panduan al-Quran dan as-Sunnah.

Advertisement

Agar kelak dari penerapan dan pelaksanaannya dalam masyarakat Islam akan menghadirkan maqasid keadilan dan ketenteraman awam hingga mewujudkan hakikat kemakmuran kehidupan, sekali gus menjadikan orang Muslim sebagai ‘umat pertengahan’ yang dicontohi.

Hasrat Kerajaan Negeri Sarawak untuk membuat kajian ke arah penambahbaikan Ordinan Syariah Sarawak membuktikan bidang kuasa dan hak kerajaan negeri ke atas Mahkamah Syariah. Kami percaya Sarawak boleh menjadi perintis menggubal setakat kuasa yang diperuntukan.

Sarawak telah menunjukkan jalan betapa hak demokrasi itu tidak pernah tergugat sesuai dengan keperluan Muslim yang tertakluk kepada Undang-undang Syariah dalam kehidupan mereka tanpa melibatkan bukan Muslim.

Kami menyambut hasrat ini dengan kalimah “Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!” Kagum dan teruja Sarawak akan meneroka keterbukaan menerusi pemerintahannya. Tiada sesuatu pun akan tergugat dan didiskriminasi melainkan menuju ke arah kebaikan yang lebih diyakini. Itu sepatutnya menjadi jaminan pihak kerajaan.

Suka kami mencadangkan agar usaha ini nanti dilibatkan sama para agamawan, badan-badan dan pertubuhan Islam serta parti-parti politik yang mewakili suara Bumiputera Islam di negeri ini agar dapatan kajian yang komprehensif dan holistik diperolehi.

Kami Pemuda PAS Sarawak turut menawarkan diri untuk turut bersama agar pengetahuan dan kepakaran PAS dalam perkara ini dapat dimanfaat dan disumbangkan hingga kebaikan yang dihasratkan dapat diterjemah demi kepentingan Islam dan rakyat Bumi Kenyalang seluruhnya.

MOHAMMAD ARIFIRIAZUL PAIJO
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 31/5/2017