Sarawak rai pelbagai budaya dan kepercayaan

SALAH satu perayaan yang disambut setiap tahun oleh penduduk tempatan Sarawak ialah Gawai Dayak. Gawai Dayak merupakan perayaan yang disambut oleh kaum pribumi Sarawak, terutamanya kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu seperti Kayan dan Kenyah, dan juga masyarakat Dayak di Kalimantan Barat.
 
Kebanyakan keluarga Dayak masih tinggal di rumah panjang dan sebahagiannya hidup berkelompok di kampung-kampung. Terdapat juga mereka tinggal di bandar-bandar untuk mencari pekerjaan dan sara hidup lain.
 
Gawai bermakna pesta, Jadi, Gawai Dayak merupakan perayaan sambutan kaum Dayak. Gawai Dayak merupakan hari untuk meraikan Tahun Baru yang menandakan berakhirnya musim menuai dan permulaan tanaman padi musim baru. Ia adalah musim perayaan tradisi dan sosial.
 
Sarawak sangat unik kerana berjaya menyatukan berbagai kaum, budaya dan kepercayaan. Inilah sikap yang baik untuk semua kaum terutama yang berkaitan dengan adat dan budaya. Dengan adanya perayaan semacam ini, ia dapat memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat untuk mengenal erti kesatuan dengan menghormati amalan budaya dan kepercayaan masing-masing.
 
Semoga amalan yang baik ini terus dikekalkan agar masyarat Sarawak yang terdiri dari berbagai kaum dan kepercayaan ini dapat hidup aman dan selamat dari pengaruh budaya asing yang tidak sesuai dengan adat resam dan budaya orang Sarawak.
 
Seperti yang anda pernah mendengar perkataan “Gayu Guru Gerai Nyamai” menjelang musim perayaan

Advertisement

Gawai Dayak, tahukah anda apakah maknanya? Ia sebenarnya bermakna kehidupan yang panjang, kesihatan dan kemakmuran dalam bahasa Iban. Semasa musim perayaan Gawai Dayak biasanya Tuak akan dihidangkan. Tuak beras ialah sejenis minuman masyarakat kaum Iban pada masa dahulu. Biasanya Tuak diperbuat daripada sejenis beras dipanggil “Beras Pulut”.
 
Kepada kaum Dayak Sarawak yang meraikan perayaan Gawai Dayak, kita ingin menasihatkan mereka yang balik kampung sama ada melalui darat dan air agar berhati-hati. Jangan berebut-rebut ketika anda pulang ke destinasi masing-masing sehingga mengabaikan keselamatan. Jangan minum sambil memandu kerana keluarga di rumah menanti anda dengan penuh kasih sayang.
 
Selamat Menyambut perayaan Gawai kepada seluruh kaum Dayak dan semoga anda semua balik ke pangkuan keluarga anda dengan selamat.
 
Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang
 
JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS, Sarawak – HARAKAHDAILY 31/5/2017

gawai