Arak: Respons terhadap kenyataan presiden Matta

SAYA membaca komen dari Presiden The Malaysian Association of Tour and Travel Agents (Matta), Hamzah Rahmat yang menyifatkan gesaan kami Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) agar minuman alkohol ataupun arak tidak lagi dihidangkan dalam penerbangan MAS sebagai ‘ridiculous’ (mengarut). Untuk lebih adil, bolehlah pembaca merujuk kepada pautan berikut : http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/06/01/alcohol-ban-on-mas-flights-ridiculous-says-matta/

Advertisement

Pertimbangan saudara Hamzah ialah pada kekerapan insiden gangguan penumpang mabuk berlaku selama ini. Selama ini bukanlah selalu insiden itu berlaku dan tidaklah memaksa hidangan arak dihentikan. Menurut laporan FMT di antara hujah Hamzah:

“Unless someone gets drunk and makes a ruckus every time on MAS flights… then we can look at this issue (what PAS has proposed). How many times has this sort of thing happened? It (the call for a ban) is ridiculous.”

Saya tertanya, berapakah bilangan insiden yang diperlukan untuk MAS boleh membuat pertimbangan untuk menghentikan hidangan arak? Atau kita mahu menunggu sehingga sebuah kapal terbang jatuh menjunam di hadapan mata akibat penumpang mabuk barulah mahu sedar keperluan menghentikan hidangan arak?

Semalam, hampir serentak dengan kenyataan Presiden Matta ini, dilaporkan pula berita bagaimana sebuah mahkamah di London diberitahu mengenai kejadian seorang penumpang mabuk dalam pesawat Malaysia Airlines pada Januari lalu, yang berang selepas anak kapal membuat keputusan menghentikan minuman keras untuknya. Penumpang tersebut, Maxine Williams telah mabuk selama 10 jam dalam penerbangan ke London itu telah melemparkan kata-kata bersifat perkauman, dan bertindak cuba menyerang pramugari Malaysia Airlines, Teoh Ming Lee, sambil menggunakan kata-kata makian dan mencarut.

Menurut akhbar harian Britain, The Sun, Williams menjerit: “I hate your f***ing country” (Saya benci negara kamu) dan “You Malaysian pig!” (Babi kau orang Malaysia), sebelum kapten mengumumkan tindakan keselamatan. Williams kemudian diikat dengan pelekat tebal. Wanita itu didapati bersalah, dan bakal menanti hukuman di mahkamah lain. Laporan tersebut boleh diakses di pautan: https://www.thesun.co.uk/news/3702847/drunk-passenger-bound-with-gaffer-tape-after-racist-attack-on-stewardess-on-malaysia-airlines-flight-to-heathrow/

Wujudkah kajian terhadap hubung kait di antara permintaan pelanggan untuk minuman alkohol dan jumlah keuntungan MAS yang berjaya dijana setiap tahun? Atau sebenarnya ramai penumpang yang menyampah dengan bau alkohol tetapi terpaksa menahan hidung dan bersabar untuk sampai ke destinasi?

Sudah sampai masanya untuk kakitangan MAS bangun serentak mendesak pengurusan tertinggi termasuklah pihak kerajaan membuat keputusan drastik berhubung hidangan minuman alkohol ini. Pemikiran ‘menanti insiden terlebih dahulu’ ini ialah satu pemikiran yang bahaya, apatah lagi larangan arak ini ialah satu perintah yang jelas di dalam al-Quran. – HARAKAHDAILY 3/6/2017