PAS T’ganu akan laksana Enakmen Jenayah Syariah

Husain2

SOKONGAN kepada PAS semakin meningkat bukan sahaja di negeri Terengganu, bahkan di kawasan pantai barat Semenanjung.

Advertisement

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Ustaz Husain Awang berkata, antara golongan yang ketara bertambah sokongan kepada PAS ialah orang muda.

“Saya melihat sokongan rakyat pada hari ini semakin subur bukan sahaja di Terengganu, (bahkan) di negeri-negeri lain termasuk di pantai barat, dan sokongan ini dapat menyemarakkan lagi keyakinan masyarakat apabila pemuda-pemuda yang bangkit, yang mana hubungan ini (adalah) hubungan yang tidak terikat dengan budaya lama dan tidak terikat dengan dasar BN,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Luas, Besut.

Justeru itu, beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak negeri berkata, PAS Terengganu akan melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah sebagaimana yang telah diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada 2002.

“Insya Allah, sekiranya kita diberi mandat dan memerintah negeri Terengganu, kita akan terus melaksanakannya.

“Kita akan mewujudkan prasarana-prasarana yang membolehkan undang-undang atau enakmen yang telah diluluskan itu akan dilaksanakan dalam kalangan masyarakat,” tegasnya sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak bersedia melaksanakan undang-undan tersebut.

Beliau yang juga mantan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata, menggubal dan meluluskan dalam sidang Dun adalah satu cabaran ketika beliau mengendalikan persidangan 15 tahun yang lalu.

“Di mana, undang-undang ini adalah sesuatu yang baru yang bagi kita pihak PAS mempunyai keyakinan ianya sesuatu yang terbaik yang kita kemukakan demi kepentingan rakyat dan demi kepentingan negeri dan juga demi kepentingan Allah SWT.

“Tetapi pada masa yang sama perkara ini bercanggah dengan budaya yang sedia ada dengan negeri dan bercanggah dengan minda yang telah diasuh oleh penjajah yang begitu lama,” ujarnya.

Namun begitu, beliau bersyukur walaupun ada empat wakil Umno-BN ketika itu, tidak menentang dan menolak enakmen tersebut.

“Kita menjangkakan bahawa tentangan begitu keras, tiba-tiba kita dapati bahawa apa yang berlaku tentangan di dalam Dewan tidaklah seperti yang kita jangka.

“Mereka (wakil Umno-BN) hanyalah menimbulkan keraguan dari sudut (teknikal), tepat atau tidak undang-undang syariat yang kita gubal ini mengikut tatacara syarak, tatacara dalil, mengikut hujah yang sedia ada di dalam syariat Allah SWT,” kata beliau.

Justeru, kata beliau kejayaan paling besar pemerintahan PAS pada 1999-2004 ialah mengubah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu, yang memasukkan peruntukan bahawa undang-undang tertinggi dan rujukan tertinggi negeri ialah al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias.

Oleh yang demikian, beliau pelik dengan jawapan berbaharu MB itu, sedang Umno dan BN Terengganu tidak menolak atau mengubah, bahkan menerima enakmen tersebut.

“Dan sekarang Umno (BN) mengekalkan, dia tiru kita, dia tidak pinda dan dia tidak batalkan balik, cuma dia tidak laksanakan,” ujar beliau.