Jerusalem’s Jubilee: Geng Ustaz desak bertindak

PERTUBUHAN Pendokong dan Pencinta Ulamak@GENG USTAZ membantah sekeras-kerasnya penganjuran “Nations of the Golden Gate aligning with Jerusalem’s Jubilee”, yang diadakan selama 4 hari dari 15 ke 18 Jun, di Gereja Calvary Life Assembly (Chinese) di Melaka.

Advertisement

Jerusalem Jubilee ini ialah sambutan kejayaan Rejim Israel merampas Kota Jerusalem dalam Peperangan 6 hari 1967 sempena tahun ke-50. Hari sambutan ini juga diangkat sebagai Hari Kebangsaan Israel dan Kristian Evangelis.

Kekhuatiran selama ini yang pernah difikirkan dan dilintas dalam fikiran umat Islam negara ini iaitu adakah Malaysia sedang menjadi sasaran agenda Kristianisasi antarabangsa sudah menampakkan jelas jawapannya.  

Sememangnya terdapat di sana satu usaha dan propaganda halus yang sedang berjalan oleh beberapa pihak dalam negara ini bersama dengan pihak antarabangsa untuk membawa agenda Kristianisasi ke dalam masyarakat dan negara yang majoritinya adalah umat Islam.

Sekiranya agenda ini benar, ia sudah bercanggah dengan undang-undang dan perlembagaan negara Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan bahawa adalah melanggari undang-undang sekiranya terdapat usaha mengembang iktikad dan agama selain Islam kepada orang Islam.

Maka dengan ini, GENG USTAZ mendesak pihak Kerajaan Negeri Melaka dan pihak berwajib agar melakukan tindakan sewajarnya dengan menyiasat, menyekat, dan membatalkan sekiranya benar terdapatnya penganjuran ini. Dan memberi amaran kepada pihak berkenaan dan pihak luar negara ini agar menghormati undang-undang dan perlembagaan Malaysia yang bertujuan menjaga keharmonian hidup bermasyarakat dan agama negara ini iaitu Islam.

USTAZ NORAZLI MUSA
Presiden GENG USTAZ
5 Jun 2017 | 10 Ramadhan 1438H – HARAKAHDAILY 5/6/2017