Siapa dalang himpunan Evangelis Kristian di Melaka?

PIHAK berwajib perlu segera menyiasat dalang disebalik penganjuran “All Malaysia-Golden Gate Revival Convocation” berikutan ia tidak mendapat kelulusan daripada mana-mana pihak, demikian gesa Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek.

Advertisement

Menurutnya, program tersebut adalah sambutan Jubli Emas 50 Tahun sempena perayaan kemenangan regim Yahudi Israel merampas Kota Juruselam dalam peperangan 6 hari pada tahun 1967 yang juga merupakan Hari Kebangsaan Israel dan Evangelis Kristian.

Beliau melahirkan rasa hairan apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok beria-ia mempertahankan program tersebut dengan penafsiran bebas terhadap hak beragama sebagaimana peruntukan pada Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya mahu tahu, apa hubungan kepimpinan DAP dengan program ini? Kenapa bersungguh-sungguh mempertahankan program ini? Saya dimaklumkan program ini tidak mendapat kebenaran walaupun oleh pihak kerajaan.

“Jika demikian bermakna ada dalang yang membenarkan penganjuran melibatkan pihak seperti ini. Oleh itu kita PAS menggesa pihak berwajib untuk menjalankan siasatan,” ujarnya selepas mengadakan laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, di sini sebentar tadi.

Ustaz Kamaruddin turut mempertikai pemilihan Melaka sebagai lokasi penganjuran tersebut, sedangkan majoriti penduduk negeri ini beragama Islam dan penganut Kristian adalah minoriti.

Tegasnya, beliau tidak reda bumi Melaka yang kaya dengan sejarah termasuk Islam itu dinodai sedemikian rupa dan sedia menganjurkan demonstrasi bantahan besar-besaran mendesak program tersebut dibatalkan.

Beliau turut menyeru umat Islam bersatu tanpa mengira latar belakang kerana ianya adalah isu agama dan amat sensitif bagi umat Islam.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahudin; Ketua Muslimat PAS Negeri Melaka, Kintan Man dan Exco Pemuda PAS Malaysia, Nazman Che Ibrahim.– HARAKAHDAILY 5/6/2017