Krisis diplomatik: Rakyat Malaysia di Qatar diminta bertenang

RAKYAT Malaysia yang berjumlah kira-kira 5,000 orang di Qatar sekarang ini dinasihatkan bertenang dengan situasi ketegangan politik yang sedang berlaku kerana sebarang langkah tergopoh-gapah, boleh menjadikan keadaan sedia ada lebih buruk lagi.

Advertisement

redzuanNasihat penting itu datang daripada Presiden Persatuan Penduduk Malaysia di Qatar (MAQ) Mohd Redzuan Nordin, 60, ketika dihubungi.

Beliau mengakui ada segelintir rakyat Malaysia agak panik dengan situasi terkini kerana banyak penerbangan yang terpaksa dibatalkan,  apatah lagi menjelang musim perayaan sebegini.

“MAQ mengambil langkah yang proaktif untuk menenangkan rakyat Malaysia di sini demi mengelakkan spekulasi yang timbul.

“Antara langkah yang harus diambil adalah bersiap sedia dengan apa kemungkinan akan berlaku.

“Selain itu bertenang dengan keadaan yang seumpama ini buat masa ini,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, MAQ akan bekerjasama dengan pihak kedutaan untuk memastikan semua rakyat Malaysia dalam keadaan selamat, sekiranya berlaku kecemasan.

Beliau meminta saudara mara dan seluruh warga Malaysia bertenang kerana keadaan mereka baik, tidak menerima berita dari pihak yang tidak bertanggungjawab serta mendoakan keselamatan mereka di Qatar. – HARAKAHDAILY 6/6/2017