Lembah Binjai: Penduduk disedia rumah baru

PENGARAH Pejabat Tanah dan Galian Kelantan, Datuk Nazran Muhammad menasihati penduduk yang terlibat projek Lembah Binjai tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak dalam membuat keputusan.

Advertisement

Katanya, penduduk yang terlibat perlu bertindak seperti hakim yang membuat keputusan tanpa menyebelahi mana-mana pihak berkepentingan.

“Kalau mengikut keadaan semasa, kerajaan akan membayar pampasan berdasarkan nilai yang setimpal,” katanya pada dialog bersama pemilik tanah yang terlibat projek pembangunan Lembah Binjai di Kota Bharu hari ini.

Seramai 23 penduduk yang terlibat dengan projek pembangunan Lembah Binjai

hadir pada perjumpaan itu di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI).

Hadir sama Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Zamri Ismail; setiausaha, Nik Mohamed Noor Nik Ishak dan Pengarah UPEN, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Fiessal.

Akhbar hari ini melaporkan penduduk yang terlibat dengan projek Lembah Binjai meminta kerajaan negeri mengadakan perbincangan mengenai projek tersebut.

Kelihatan pada gambar akhbar terbabit aktivis parti serpihan, Parti Amanah Negara (PAN) yang sejak awal lagi cuba mengeruhkan isu terbabit.

Nazran juga berkata, penduduk yang tidak puas hati berhak membawa kes tersebut ke Mahkamah.

Zamri pula memberitahu penduduk terlibat akan diberi pilihan mendapat pampasan atau rumah gantian di lokasi projek pembangunan berkenaan.

“Sebanyak 12 unit rumah teres dua tingkat dan teres setingkat 10 unit serta rumah berkembar satu unit disediakan kepada pemilik tanah yang terlibat,” katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, isu pembangunan Lembah Binjai dilihat cuba dipolitik pihak tertentu.

Katanya, kerajaan negeri hanya meluluskan fasa A yang melibat 14 rumah sahaja, manakala fasa B,C,D dan E belum ada sebarang keputusan untuk dibangunkan.

“Ia bergantung kepada program fasa A, sekiranya berjalan lancar tanpa sebarang masalah, mungkin kerajaan boleh timbang untuk fasa seterusnya.

“Tetapi sekiranya fasa A ada yang tidak puas hati, kerajaan negeri hanya akan berhenti setakat itu sahaja,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/6/2017