Pembatalan perayaan Jubli Jerusalem wajar

MAPIM mengalu-alukan arahan TPM untuk pihak PDRM menolak dan membatalkan acara Jubli Jerusalem 50 tahun yang dirancang untuk diadakan di Melaka.

Advertisement

Tindakan tersebut memang sepatutnya diambil memandangkan isu itu bukan sahaja membabitkan soal sensitiviti agama malah berkait dengan dasar kerajaan Malaysia terhadap penjajahan Israel terutama menyentuh soal Baitul Maqdis serta Palestin keseluruhannya.

Sehingga hari ini Malaysia tidak mengiktiraf Israel. Lantaran itu mengadakan acara untuk merayakan peringatan pencerobohan 50 tahun Israel ke atas Jerusalem dan Masjid Aqsa adalah suatu tindakan yang sama sekali tidak dapat diterima.

Kerajaan Pusat dan negeri perlu meneliti sambutan seumpama ini yang berkait dengan penonjolan aktiviti agama yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Memelihara kedudukan dan maruah Islam di negara harus utamakan di atas segala pertimbangan.

Apatah lagi sambutan tersebut menampilkan unsur merayakan kejayaan zionis Yahudi menceroboh Masjid Aqsa, masjid tertiga paling suci di dalam Islam.

Kami mendesak agar semua pihak memahami bahawa sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan agama di negara ini perlu disekat dari awal.

Kini dunia sedang bergolak akibat pembantaian terhadap kaum muslimin di mana-mana. Regim Zionis Yahudi adalah paksi segala penindasan yang kini berlaku terutama di Timur Tengah. Umat Islam Palestin sudah menderita 70 tahun sejak 1948 dan ditambah lagi perampasan Jerusalem Timur pada tahun 1967.

Kami mengingatkan jika ada pihak yang cuba menganjurkan acara yang memperkecilkan malah memperolokkan khazanah umat Islam, perlu berdepan dengan kemarahan umat Islam di mana sahaja.

Toleransi umat Islam tidak harus dicabar sehingga nasib umat Islam yang ditindas seperti isu Palestin dianggap suatu kemenangan yang mahu dirayakan di tanah air ini.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Mapim