Pengerusi Felda perlu campur tangan

KEKALUTAN yang berlaku akibat penggantungan Ketua Pegawai Eksekutif  Felda Global Ventures Berhad (FGV) Datuk Zakaria Arshad oleh Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad tidak sepatutnya berlaku apatah lagi dengan alasan serta sebab yang tidak kukuh. Umum mengetahui bahawa ketika Datuk Zakaria Arshad menerajui FGV, berlaku perkembangan dan momentum positif semasa didalam struktur organisasi mahupun perniagaan FGV yang tentunya membawa kebaikan kepada Felda, FGV mahupun peneroka itu sendiri.

Advertisement

“Boardroom Tussle“ yang bermotifkan agenda peribadi jelas hanya merugikan Felda terutamanya peneroka. Tugas Felda dan penerajunya harus dan perlu fokus kepada bagaimana untuk memajukan Felda terutamanya nasib peneroka.

Nasib peneroka harus dibela dan dijaga, tambahan ketika harga pasaran minyak sawit dunia tidak menentu dan berlaku pemulauan minyak sakit di beberapa tempat di dunia yang menjejaskan harga pasaran minyak sawit, tentunya juga menjejaskan pendapatan Felda terutamanya peneroka.

Seharusnya Felda terutamanya FGV perlu memikirkan bagaimana untuk menambah pendapatan syarikat supaya memberi pulangan dan manfaat kembali kepada peneroka seperti memajukan sektor hiliran yang berasaskan sawit dan perniagaan sampingan kepada peneroka seperti pertanian untuk menjana pendapatan tambahan kepada peneroka yang di kala ketidakstabilan harga pasaran minyat sawit dunia.

FGV juga perlu menilai semula subsektor perniagaan yang mereka ceburi yang jauh menyimpang dari perniagaan teras mereka seperti pelaburan dalam hartanah di luar negara yang mempunyai risiko yang tinggi dan tidak menentu serta beberapa sektor perniagaan lain yang sememangnya lari dari perniagaan teras mereka, malah ada juga yang mencatat kerugian jutaan ringgit yang tentunya menjejaskan pendapatan dan modal syarikat, dan paling utama kerugian kepada peneroka.

Sememangnya FGV perlu dinilai semula secara keseluruhan operasi mereka, malah perlu di audit dengan telus agar gambaran sebenar keadaan dan prestasi FGV dapat dinilai secara menyeluruh sepanjang penubuhannya. Lebih memburukkan keadaan, “Boardroom Tussle“ ini menunjukkan seolah-olah terdapat sesuatu yang berlaku di belakang tabir hingga diputuskan penggantunggan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad.

Tuduhan kedua-dua belah pihak samada Tan Sri Isa Samad mahupun Datuk Zakaria Arshad bahawa terdapat penyalahguaan kuasa berlaku harus disiasat segara. Oleh itu PAS meminta campur tangan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad agar menghentikan segera “Boardroom Tussle“ ini dan menggesa satu siasatan menyeluruh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan berlaku salah guna kuasa di dalam FGV dan mengheret si pelaku tersebut ke muka pengadilan “without fear or favour“.

Jelas bahawa apa pun yang berlaku, yang ruginya tetap peneroka seumpama jatuh ditimpa tangga. Sudahlah nasib belum tentu terbela, masa depan mereka umpama renduman harga saham FGV di BSKL. Apa yang terlihat kepada Felda hari ini seumpama lari dari tujuan asal penubuhannya iaitu untuk menaikkan taraf ekonomi Bumiputra. Oleh itu PAS mendesak agar Felda dikembalikan organisasinya seperti tujuan asal penubuhannya serta satu siasatan menyeluruh dilakukan agar Felda tidak terkubur dan hanya tinggal mimpi ngeri akibat tangan-tangan kotor yang merosakkannya.

Sejahtera Bersama Islam

Wan Rohimi Wan Daud
Pengerusi Lujnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat
12 Ramadhan 1438 | 7 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 7/6/2017