Qatar selepas tiga hari

Q1

SAYA cuba menulis berkenaan apa yang berlaku di Qatar setelah tiga hari beberapa negara memutuskan hubungan diplomatik mereka dengan Qatar. Paling parah ialah ketika tindakan Arab Saudi, satu-satunya negara yang Qatar mempunyai sempadan jalan darat dengannya, diapit pula oleh Emiriah Arab Bersatu di tenggaranya dan Bahrain, sebuah pulau kecil di barat laut Qatar. Meninggalkan Qatar hanya mempunyai sempadan laut dengan Iran sahaja.

Advertisement

Saya tidak berniat untuk menulis isu ini secara mendalam berkenaan politik kerana sudah ramai pastinya pakar-pakar yang telahpun mengeluarkan teori masing-masing bagi menghuraikan permasalahan ini. Paling pasti US dan Israel kegembiraan dengan sekatan ini. Tumpuan penulisan saya ialah keadaan rakyat dan pemastautin luar di sini, bagi makluman rakan pembaca di Malaysia. Tetapi sebagai pengetahuan umum, Qatar pernah mengalami rampasan kuasa dahulu oleh anaknya sendiri Hamad al-Thani. Kemudian mereka tetap hidup bersama dan sekarang ini takhta telah diserahkan pula kepada anak Hamad iaitu Tamim dengan begitu teratur sekali tanpa ada persengketaan. Qatar juga tidak membenarkan penjualan arak secara terbuka. Mesti ada lesen bukan sahaja penjual malah juga pembeli. Hukuman yang berat bagi yang mengingkarinya. Sangat sukar untuk mencari kelab malam. Pakaian juga diadakan kod pemakaian agar tidak menjolok mata. Sangat berbeza dengan Dubai, arak, pelacuran, kelab malam seperti tiada sekatan.

Saya ada bercakap sendiri dengan seorang rakyat Qatar yang tidak mahu dikenali. Di sini segala isu berkenaan negara agak taboo kerana mereka tidak dibenar bercakap sembarangan. Mereka juga tidak selesa. Kata mereka, “dindingpun boleh bercakap” menandakan ramainya pengintip. Beliau memberitahu bahawa kes kali ini serius kerana mereka bukan sahaja memanggil duta pulang, malah menutup terus sempadan negara. Beliau kesal dan tidak faham mengapa Saudi memilih tindakan ini pada bulan Ramadhan. Namun beliau percaya yang Qatar kuat dan tidak mudah mengalah.

Seorang rakan sekerja rakyat Algeria datang kepada saya, terus menyatakan kekesalannya terhadap apa yang terjadi. Secara terus terang dia katakan ini tidak ada perkara lain kecuali kecemburuan yang tinggi terhadap Qatar. Dua sebab utama iaitu kedudukan dan wang. Dia yang pernah melalui zaman pembunuhan besar-besaran anggota FIS di Algeria suatu ketika dahulu, berharap tidak akan terjadi sebarang kejadian yang tidak diingini.

Rakyat Mesir yang sekarang ini berada di bawah kedutaan Greece setelah duta mereka pulang. Mereka tidak tahu nasib mereka jika pulang ke negara mereka. Masing-masing mengangkat bahu tanda tidak pasti apabila ditanya. Namun secara jelas ramai dari mereka membenci As-Sisi. Kemungkinan jika mereka pulang, mereka terpaksa melepaskan jawatan masing-masing. Itu yang mereka bayangkan.

Kerajaan Filipina pula tidak memutuskan hubungan dengan Qatar, tetapi telah mengambil langkah menyekat kemasukan baru rakyat mereka ke Qatar. Ini kerana kerajaan mereka bimbang dengan situasi yang mungkin menjadi lebih buruk. Paling dirisaukan ialah bekalan makanan akan menjadi masalah utama kerana Qatar bukan negara pengeluar makanan. Tetapi teman-teman dari Filipina masih berkeyakinan yang mereka akan pulang kembali bekerja di Qatar.

Rakyat UAE? Belum sempat bertanya, bermula pada pagi hari pengumuman, mereka sudah memecut keluar menuju sempadan, meninggalkan Qatar. Tiada rakyat Yaman, Bahrain, Arab Saudi, Maldives dan Mauritius yang saya kenali di sini. Manakala rakan-rakan dari India dan Indonesia, kumpulan terbesar pekerja di Qatar, tidak mempunyai apa-apa komen kerana mereka tidak merasakan ini sebagai isu yang melibatkan negara mereka.

Kira-kira 5,000 rakyat Malaysia yang bermastautin di sini pula, semuanya tenang-tenang belaka. Tiada kerisauan, walaupun pada hari pertama agak menggemparkan juga. Tetapi semalam dan hari ini, alhamdulillah tiada kebimbangan yang ketara. Ada laporan berita yang menyatakan kemungkinan 5,000 rakyat Malaysia tidak boleh pulang berhari raya, adalah laporan yang tidak berasas. Untuk makluman, pagi 7 Jun, kira-kira jam 7.30 pagi waktu Malaysia, rakan kami sudah menaiki Qatar Airways dan baru sebentar tadi kira-kira jam 4.00 petang, mereka sudah mendarat dengan selamat di KLIA. Cuma mereka mengambil masa kira-kira lebih 30 minit daripada waktu biasa kerana lencongan laluan udara. Malam tadi 7 Jun juga akan ada lagi beberapa rakan saya terbang balik ke Malaysia. Setakat ini tiada pembatalan penerbangan ke Malaysia diumumkan.

Laluan immigresen juga lancar kata teman saya. Kapal terbang banyak tempat kosong. Lapangan terbang juga agak lengang berbanding hari-hari sebelum ini. Sehingga kini, tiket yang sudah kami tempah bagi akhir Jun ini, masih tidak dibatalkan oleh Qatar Airways. Yang mungkin menjadi sedikit masalah ialah kepada yang terbang ke arah barat Qatar. Lencongan yang agak jauh terpaksa dilakukan. Yang lain bermasalah mungkin jika mengambil tiket penerbangan negara-negara yang memboikot Qatar.

Dari segi makanan pula, sehingga petang semalam, Iran telah berjanji akan menghantar bantuan makanan. Turki juga sanggup menghantar makanan. Tiada lagi kelihatan rak-rak di pasar raya menjadi kosong kerana kekurangan makanan. Mungkin kurang sekejap dan diisi semula. Cuma mungkin banyak pengurup wang kehabisan dolar kerana serbuan pelanggan dua hari lalu. Tiada juga kelihatan kereta-kereta kebal mahupun pasukan bersenjata ditempatkan di jalan-jalan raya di Qatar ini. Setakat ini, seluruh kehidupan di Qatar sekarang berjalan seperti biasa.

Saya ada berhubung dengan beberapa orang teman dari Malaysia bagi mendapat sedikit maklumat berkenaan keadaan masing-masing di daerah yang berbeza di Qatar. Sama jawapan mereka, tiada cerita yang istimewa atau keburukan yang mereka boleh kongsikan, tiada juga kegusaran dan kebimbangan kepada mereka. Jadi, kami di sini seluruh 5,000 rakyat Malaysia, selamat dan sedang bergembira menjalani ibadat puasa. Dan doakan kami sentiasa selamat. Semoga ketegangan ini akan berakhir segera. – HARAKAHDAILY 8/6/2017

Penulis telah bekerja di Qatar semenjak 2007.     

Q5   

Q1      Q2

Q3

Q4

Q6