Ombak 40

Dia bertanya, “Bagaimana PAS boleh mensasarkan kemenangan 40 kerusi parlimen pada PRU14 nanti? Ia hampir mustahil dicapai akibat perpecahan barisan pembangkang. Tidakkah ini akan memalukan PAS nanti jika kalah kerana terlalu berangan-angan?

Advertisement

Saya menjawab, “Malu? Bagaimana pula jika PAS menang 50 kerusi nanti?”

Saya tambah, “PAS jika kalah PRU14 akan terus mensasarkan untuk PRU15 nanti sehingga 60 kerusi parlimen. Saya jangka begitu.”

Dia bertanya dan dahinya berkerut, “Mengapa begitu pula?”

Saya syarahkan, “PAS berjuang bukan berpenamat pada PRU14 atau mana-mana PRU akan datang. Hujung perjuangan Allah-lah pemegangnya. PAS bergerak menuju hujung itu. Kemenangan PAS adalah apabila ia terus bergerak dan istiqamah.

Motivasi PAS adalah dakwah dan janji kemenangan daripada-Nya. Setiap kali kita mencapai maksud dakwah, setiap kali itulah pintu kemenangan semakin terbuka di hadapan. Ia terbuka di mana-mana dan bukan PAS yang membukanya. Allah membukanya dengan kehendak dan kemahuan-Nya.

Lihat sahaja Islam hari ini di Malaysia. Islam yang syumul dan sempurna semakin diterima oleh masyarakat. PAS semakin diterima sebagai abang besar dunia dakwah. Sebabnya PAS semakin membina dirinya sendiri agar lebih diterima oleh semua.

Yang menolak PAS ialah yang menerima musuh PAS. Musuh PAS ialah musuh Islam. Itu bukan pelik. Pelik adalah sebaliknya.

Pilihan raya adalah penyukat semasa pasang surut ombak dakwah. Ombak akan terus berombak tanpa malu menghempas pantai. Sampai masanya ia pasti mengubah pantai itu.

Justeru setiap hari adalah kemenangan yang sedang terbuka buat Islam. Tiada lagi sasaran bawah 40 kerusi insya Allah.”

Dia mengangguk. Faham.