Bantuan tetap diberi walau dalam kepayahan

WALAUPUN perit bagi mencari dana untuk diagihkan kepada mereka yang miskin atau  memerlukannya, namun tiada pilihan lain bagi Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payong, Marang selain daripada berusaha gigih mencari sumber.

Advertisement

Sebanyak RM25,000 akhirnya berjaya dikumpulkan bagi MTD menjayakan Program Nur Ramadhan, hasil kerja keras mereka bagi memastikan kelangsungan program iaitu satu program tahunan yang tanpa gagal diadakan oleh mereka.

Seramai 265 orang penerima telah dikenal pasti, mendapat sedikit bantuan iaitu RM100, 10 kilogram beras dan juga setengah kilogram kurma bagi mereka gunakan dalam bulan Ramadhan ini.

Adun Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah dalam ucapannya merasa kesal kerana kerajaan negeri dengan jelas meminggirkan wakil rakyat yang sah bagi membangunkan sesuatu Dun itu jika dari pembangkang.

Bagi beliau, cara lapuk, ketinggalan zaman dalam berpolitik dan lebih dari itu, tidak tahu menghormati pengundi dan undang-undang negara, perlulah dibuang oleh kerajaan negeri agar membuka dimensi baru politik tanah air.

“Insya Allah jika kita dapat memerintah, kita akan lakukan yang terbaik kepada rakyat, tanpa memilih kasih.

“Apa yang boleh diulangi oleh kerajaan yang dikuasai oleh PAS suatu ketika dahulu, segala kebaikannya, kita akan teruskan, rakyat sangat merasai kebaikan itu walaupun  hanya memerintah selama empat tahun.

“Bandingkan kegagalan Umno selama 40 tahun, anda akan melihat kebenarannya,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu.

Selain itu juga, beliau turut memaklumkan kepada orang ramai akan janji manifesto awal PAS Terengganu iaitu seperti akan memberikan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada golongan yang layak.

Majlis yang berlangsung di Dewan Madrasah Darul Iman, Kedai  Buloh, kelmarin itu turut dihadiri oleh AJK MTD dan berakhir kira-kira jam 4.30 petang. – HARAKAHDAILY 10/6/2017