Bukan sekadar dengan bantuan ‘one-off’

Bantuan ‘one-off’ kerajaan Umno BN tidak membantu rakyat mengekang bebanan kos sara hidup semakin meningkat masa kini.

Advertisement

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, kenaikan perbelanjaan harian rakyat yang begitu ketara hari ini adalah hasil daripada beberapa dasar dilaksanakan kerajaan seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan lain-lain.

Katanya, walaupun kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit untuk pelbagai dana, namun tahap kehidupan rakyat masih di paras yang rendah, lapor Buletin Online.

“Sepatutnya kerajaan membuat satu tindakan secara holistik, bukan sekadar dengan hanya bantuan ‘one-off’ seperti ini kerana bantuan yang seperti ini tidak banyak membantu rakyat yang dalam kesusahan.

“Sebab itu kerajaan perlu melihat secara keseluruhan bagi mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan,” ujar beliau ketika ditemui selepas selesai program Semarak Kasih Ramadan yang diadakan di Dewan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Teluk Pasu, Kuala Nerus, semalam.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan ancaman gejala sosial yang sangat dasyat khususnya dalam kalangan muda mudi.