SEMUA dari kita amat tahu betapa Al-Quran itu cahaya. Ia akan menerangi kehidupan yang sangat gelap tanpanya.
Semua kita sangat sedar Al-Quran itu pentunjuk kepada mereka yang ingin menuju taqwa dan redha Allah SWT, ia umpama papan tanda jalan dan GPS yang memberi kita arah ke mana hendak dituju.
Kerana itulah semua dari kita sangat tahu tanpa Al-Quran dalam kehidupan, kita akan menemui risikonya kesesatan. Malang bila apa yang kita tahu itu tidak kita yakini lantas kita tidak ambil peduli.
Al-Quran yang kita baca, yang kita tilawahkan, yang kita musabaqahkan, kenapa sukar untuk kita jadikan pedoman sebagai pegangan? Ayuh, belajarlah ubah pendirian agar Al-Quran ini mampu menjadi penyebab untuk kita berubah. Mampu jadi pemangkin untuk kita bersungguh-sungguh mengamalkan isi kandungannya. Justeru, kuatkanlah azam pada saat kita di ambang tarikh Nuzul Quran 1438H ini.
Demikianlah sirah membuktikan Al-Quran telah mengubah masyarakat jahiliah Mekah menjadi masyarakat yang dimuliakan hingga ke serata tanah Arab. Ia dimulakan dengan penerimaan Islam dari kalangan rakyat marhaen termasuklah dari kalangan orang kurang upaya.
Al-Quran yang menceritakan perihal Abdullah Ibnu Ummu Maktum telah sedia diketahui umum. Bukan sahaja Ibnu Ummu Maktum, ramai lagi sahabat baginda Rasul Allah S.A.W dari kalangan orang kurang upaya gemilang kehidupannya dengan Islam.
Gemilangnya mereka bukan kerana adanya Al-Quran itu semata-mata. Kesediaan mereka dan masyarakat sekeliling tunduk dan patuh kepada kandungan Al-Quran itulah sebenarnya yang menjadikan mereka berjaya digilap hingga menjadi syuhadah seumpama Amr Ibnu Jumuh.
Mengapa tidak kita tekad jadikan Al-Quran sebagai pedoman untuk menjadikan orang kurang upaya di Malaysia ini mampu berfungsi sebagai insan biasa dan mampu menyertai masyarakat sebagaimana zaman para sahabat?
Kehebatan Al-Quran yang telah dibuktikan oleh baginda Rasul Allah S.A.W dalam membentuk sahsiah diri orang kurang upaya dari kalangan sahabat telah juga diperakui para pengkaji sosiologi moden hari ini.
Pelbagai pendekatan moden yang menggambarkan keutuhan pengiktirafan kepada orang kurang upaya telah sejak awal diperakui dan dimantapkan dalam tamadun Islam sewaktu kehidupan baginda Rasul Allah S.A.W dan para sahabat.
Masyarakat iklusif yang diperkenalkan hari ini yang seharusnya meletakkan orang kurang upaya berada pada kedudukan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi telah sejak awal diperakui Islam.
Antara lain termasuklah firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nur ayat 61 yang bermaksud: “Tidak ada salahnya bagi orang buta dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki dia berlaku demikian) dan juga tidak ada salah bagi kamu (termasuk orang-orang yang tersebut turut sama) makan di rumah kamu sendiri atau di rumah bapa kamu atau di rumah ibu kamu, atau di rumah saudara kamu yang lelaki atau di rumah saudara kamu yang perempuan, atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa) atau di rumah emak saudara kamu (sebelah bapa) atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah ibu) atau di rumah emak saudara kamu (sebelah ibu) atau di rumah yang kamu kuasai kuncinya atau di rumah sahabat kamu; tidak juga menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau berasing-asing. Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya”.
Penegasan dari Al-Quran ini jelas meletakkan kebersamaan orang kurang upaya di tengah-tengah masyarakat. Ia sekali gus menjadikan orang kurang upaya itu saksama dan tidak boleh didiskriminasikan dalam kehidupan.
Bahkan dalam ayat-ayat lain, sangat jelas betapa kuasa Allah S.W.T yang menciptakan manusia itu dalam pelbagai keadaan dan warna rupa mengenepikan kecacatan dan kurang upaya itu sebagai kehinaan. Asal seseorang itu bergelar insan, di situlah terletaknya akan kemuliaan meskipun beliau seorang orang kurang upaya.
Prinsip-prinsip inilah yang pada hari ini dijadikan asas kepada program pembangunan orang kurang upaya dan dijadikan elemen-elemen penting dalam perundangan yang berkaitan orang kurang upaya.
Di sinilah seharusnya umat Islam yang di tangannya Al-Quran terlebih awal dan terkehadapan dalam mencukupkan keperluan orang kurang upaya agar digilap potensi keinsanan yang sedia dicipta. Kecaknaan kepada orang kurang upaya bukanlah sekadar memikirkan hal-hal berkaitan sumbangan dan kebajikan cara lama.
Lebih dari itu Islam telah meletakkan satu garis kemuliaan sehingga dapat diketengahkan orang kurang upaya itu mampu berada dan berperanan dalam masyarakat sebagaimana insan lain. Justeru itulah terbitnya satu penegasan masyarakat yang sempurna itu adalahh masyarakat yang di dalamnya ada golongan orang kurang upaya (OKU) yang bebas menjalani kehidupan tanpa dibatasi hanya kerana kecacatan atau kurang upayanya.
Cabaran ini sememangnya diakui tidak mudah untuk dihadami oleh umat Islam di negara ini. Kita masih berhadapan dengan pelbagai stigma yang akhirnya memusnahkan potensi dan keupayaan orang kurang upaya itu sendiri.
Mahu tidak mahu, bagi pendukung Islam, keterbukaan dan kesediaan dalam menelaah dan meneliti fiqh kemasyarakatan ini sangat penting bagi menyerlahkan kehidupan yang telah dilakarkan dalam Al-Quran. Sebagaimana rakyat yang derita dengan penindasan di zaman jahiliah berbondong-bondong mendatangi Islam, demikianlah halnya hari ini.
Golongan lemah termasuk dari kalangan orang kurang upaya sangat menaruh harapan kepada Islam untuk mengubah kehidupan mereka. Harapan ini terbit dari kefahaman betapa sirah nubuwah telah membuktikan orang kurang upaya itu digilap potensi dan jati dirinya dengan islam.
17 Ramadhan yang kita sambut saban tahun tidak wajar dibiarkan tanpa perubahan dalam masyarakat. Setiap pencinta Islam berkewajipan berusaha agar cahaya Al-Quran itu mampu menerangi kehidupan setiap insan dengan kemuliaannya termasuklah mereka yang kurang upaya.
Sejahtera Bersama Islam