Sarawak: Kaji sebelum tubuh syarikat minyak dan gas

PAS Sarawak menyokong usaha kerajaan negeri dalam menubuhkan syarikat operasi minyak dan gas yang akan memberi penumpuan dalam usaha explorasi dan pembangunan lapangan minyak dan gas di Sarawak

Advertisement

PAS Sarawak melihat usaha ini akan memberi peluang kepada pembangunan kemahiran anak Sarawak melalui perkongsian kerjasama dengan Syarikat Minyak Negara – Petronas. Usaha ini juga akan membuka lebih peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak.

Walau bagaimanapun, PAS Sarawak melihat, penyertaan syarikat ini dalam bidang explorasi dan pembangunan lapangan minyak akan melibatkan risiko yang tinggi dari aspek pelaburan dan ekonomi.

Kos kasar Explorasi dan pembangunan satu telaga minyak sahaja bakal menelan belanja sehingga USD10 juta (RM42.65Juta). Peringatan yang ingin kami utarakan adalah kerajaan negeri perlu meneliti dari segala aspek pengurusan risiko ini sebelum membuat keputusan juga dalam keadaan harga minyak dunia yang pada paras rendah ketika ini – USD48.40/ barrel (Brent Crude).

PAS Sarawak melihat akan keperluan asas infrastruktur awam di Sarawak seperti jaringan jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih adalah seharusnya menjadi fokus keutamaan dalam perbelanjaan kerajaan negeri.

Sebagai contoh, wang yang bakal dibelanjakan bagi satu telaga minyak dapat menampung projek jalanraya sejauh lebih 20 km atau bekalan elektrik dan air kepada lebih 100 buah kampung / rumah panjang.

MUHAMMAD AFIQ MHD KHAZAR
Ketua Penerangan PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 12/6/2017