Naelofar, AirAsia terbang tinggi: DMPM rakam tahniah

1) SYARIKAT penerbangan AirAsia mengumumkan penggunaan hijab kepada semua juruterbang wanita mereka setelah melancarkan kerjasama khas dengan jenama hijab terkemuka, Naelofar Hijab. Kerjasama tersebut mengesahkan Naelofar Hijab akan menjadi tudung rasmi pilot semasa menjalankan tugas.

Advertisement

2) Kenyataan terbaru memutuskan bahawa juruterbang wanita muslim dari sektor AirAsia X akan memakai putih Naelofar Hijab yang khusus untuk memenuhi keperluan hari kerja mereka bermula bulan ini, Jun 2017.

nuridah3) Kami Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengikuti perkembangan ini dan mengucapkan jutaan tahniah kepada pihak penerbangan AirAsia atas usaha ini. Sesungguhnya ia merupakan satu kejayaan yang perlu dibanggakan dan dicontohi.

4) Allah S.W.T jelas memerintahkan hambaNya menutup aurat walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Hal ini jelas berdasarkan firmanNya dalam Surah An Nur ayat 31 yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

5. Usaha murni ini juga disarankan kepada pemakaian baju seragam pramugari. Ukuran dan rekabentuk uniform perlu mengikut ciri yang mengikut syarak iaitu tidak terlalu ketat, tidak jarang serta kain tidak nipis dan sesuai perlu dititiberatkan agar pemakai akan kelihatan anggun dan bergaya menampilkan ciri ketimuran mengikut acuan Islam sekali gus membawa nama Islam ke persada dunia.

6. Justeru, kami mendoakan semoga usaha ini dipermudahkan dan mendapat sokongan dari semua. Marilah sama-sama kita mengamalkan syariat Islam sebenar sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Semoga pekerjaan kita semua penuh keberkatan. Tahniah AirAsia!

“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
17 Ramadan 1438 | 12 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 12/6/2017