Empat masalah kesihatan bulan Ramadhan

drsuhazeli

BAGI orang yang sihat afiat boleh sahaja meneruskan puasa mereka tanpa masalah. Kelihatan penuh bertenaga walaupun perut lapar. Ini kerana tenaga masih lagi boleh diambil dari lemak yang tersimpan dalam tubuh kita.

Advertisement

Namun bagi sesetengah orang, puasanya agak terganggu akibat penyakit yang sedia ada seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung atau sebagainya. Gangguan ini akan mengakibatkan puasanya bertambah letih. Oleh yang demikian apabila tiba keadaan tertentu, beliau diharuskan berbuka puasa.

Masalah lain yang juga boleh mengganggu kelancaran berpuasa adalah kesan daripada berlapar itu sendiri. Terdapat empat masalah perubatan yang biasanya terjadi ke atas orang berpuasa.

1. Kekeringan air / dehidrasi

Oleh kerana puasa itu tidak dibenarkan makan dan minum bermula subuh hingga maghrib, ada di kalangan kita yang akan mengalami tanda-tanda kekeringan air dalam badan. Bibir dan kulit kering, loya berpinar dan kedahagaan sehingga boleh membawa pengsan akibat dari kurangnya air dalam badan. Tanda-tanda ini boleh dielakkan jika kita meminum air secukupnya. Dinasihatkan di malam hari kita meminum sekurang-kurangnya 8 gelas air kosong. Baharulah badan kita dapat menjaga hidrasi seoptimumnya semasa siang hari. Tiga gelas waktu berbuka, 2 gelas selepas tarawih dan 3 gelas lagi sewaktu bersahur. Pun begitu tiada penetapan khusus waktu mana untuk minum air tersebut. Nak minum setiap jam segelas pun boleh juga.

2. Sembelit

Sembelit juga sering berlaku kerana berpunca dari kekurangan air yang kita minum. Ditambah pula jika kita bekerja di bawah terik matahari. Banyak peluh akan keluar. Mengambil minuman teh dan kopi juga boleh menjadi penyebab kita kencing kerap. Hidrasi badan semakin berkurangan.

Usus akan banyak menyerap air bagi menggantikan peluh tadi, akhirnya konstitusi najis akan keras. Sembelitlah jadinya. Menambah penyeksaan diri sewaktu di bilik air. Bagi pesakit buasir, cukup kesian kelaku mereka semasa istinja.

Tips untuk elakkan sembelit adalah minum air secukupnya. Elakkan kerja-kerja luar di bawah terik matahari. Terpenting, semasa berbuka dan bersahur, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Serat yang terkandung dalam sayur dan buah itu boleh melembutkan najis dalam usus.
.
3. Pening kepala dan stres

Pening ‘tekanan’ biasanya berpunca dari lapar, kurang waktu rehat, kurang tidur dan penat berfikir semasa kerja. Bagi sesetengah orang penyakit migrain mereka bertambah teruk sewaktu berpuasa. Mungkin tips berikut boleh membantu mengurangkan pening kepala.

i) Kurangkan mengambil makanan yang bergula, bergaram, berlemak serta berkafein.

ii) Tidur sekejap di waktu tengah hari. Rasulullah dan para sahabat membiasakan diri dengan tidur sekejap ini sama ada sebelum zuhur atau selepasnya sekitar 15-30 minit.

iii) Kurangkan stres atau penat bekerja dengan lakukan senaman ringkas di pejabat. Atau menggunakan teknik pernafasan rileksasi. Boleh dapatkan tatacaranya di laman web.

4. Gastrik

Sakit perut sewaktu puasa selalu dijadikan alasan kanak-kanak untuk berbuka puasa. Orang dewasa pun mempunyai masalah sama. Apabila perut kosong, asid dalam perut akan menyebabkan bertindak balas dengan dinding perut. Menyebabkan kita terasa pedih. Orang biasa dapat mengatasi masalah ini dengan senang. Tetapi bagi sesetengah orang yang sensitif, perutnya akan sakit melampau sehingga mengganggu kerja seharian. Sakitnya hilang setelah berbuka puasa.

Kaedah untuk mengatasinya adalah, lewatkan sahur hampir dengan waktu subuh. Dengan harapan makanan akan tersedia lama dalam perut. Bagi melambatkan sedikit proses penghadaman, banyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Kurangkan mengambil makanan terproses seperti sosej, burger dan seumpamanya. Banyakkan minum air atau susu. Elakkan juga makanan yang pedas, berkafein serta bergas.

Semoga bermanfaat

Tulisan ini dipetik daripada laman facebook Fb.com/drsuhazeli