Ancaman gejala ‘Porn Star IG’ semakin menular

PORN Star IG sudahpun diklasifikasikan sebagai ancaman terkini teknologi laman sosial terhadap kesihatan sosial anak-anak remaja kita, khususnya perempuan. Fenomena tidak bermoral ini sedang berleluasa di Instagram (IG), di mana sekumpulan anak-anak muda akan mewujudkan dan menyertai kumpulan Direct Messenger (DM) di IG. Seterusnya, mereka akan saling mempamer serta masing-masing menyebarkan gambar yang tidak senonoh sebagai tatapan dan perkongsian kepada rakan-rakan yang lain.

Advertisement

Kami, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) cukup sedih dengan perkara ini. Lagi menyedihkan apabila salah laku daripada segi agama dan sosial amnya, dianggap sebagai sumber kemegahan bagi anak-anak gadis tersebut, apatah lagi sekiranya gambar lucah si gadis menjadi tular dan disukai ramai, maka si pelaku di dalam gambar tersebut akan dilabelkan sebagai ‘Porn Star IG’.

Segelintir anak-anak gadis berkenaan melakukan aktiviti tidak bermoral itu dek kerana ketandusan kewangan, ataupun dihadiahi pelbagai kesenangan oleh lelaki-lelaki yang mengambil kesempatan terhadap kepolosan mereka. Sebagai habuannya, anak-anak gadis itu akan diberikan telefon bimbit beserta simkad secara percuma, top-up, mahupun wang oleh lelaki yang berminat terhadap mereka. Yang lebih malang, terdapat anak gadis yang melakukannya sebagai aktiviti suka-suka sahaja.Tidak cukup dengan itu, sebagai akibat pertukaran gambar bogel semasa berkenalan di IG, gambar-gambar berkenaan akan dijadikan sebagai ‘modal’ oleh lelaki-lekaki yang bernafsu serakah bagi mengugut mangsa-mangsa mereka. Dengan ancaman sekiranya anak gadis berkenaan tidak mahu dijadikan ‘boneka seks’, maka gambar yang memalukan itu akan ‘dikirimkan’ kepada ibu bapa si gadis ataupun ditularkan ke laman media sosial yang lain.

Malahan, menurut hasil statistik pada tahun 2007 melalui kajian Dr Khaidzir Ismail dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), daripada 887 orang gadis remaja, hanya 1 orang sahaja daripada hasil penyelidikan beliau yang tidak pernah melakukan hubungan seks. Tahun 2007, kita sedia maklum bahawa pada ketika itu medium sosial tidak lagi begitu berkembang sepertimana pada hari ini. Lalu, bagaimana agaknya dengan nasib anak-anak gadis pada masa sekarang dengan kewujudan pelbagai laman sosial dan penularan ‘trending’ Porn Star IG yang semakin mendapat tempat di kalangan remaja yang tidak diawasi.

Justeru, sebagai langkah pencegahan di seawal usia anak-anak lagi, ibu bapa hendaklah menghadkan dan mengawasi penggunaan internet dan juga gajet oleh anak-anak sebelum mereka mencapai usia yang dianggap sudah boleh membezakan buruk atau positifnya sesuatu tindakan. Selain itu, pantaulah kelakuan anak-anak ketika berada di dalam mahupun luar rumah. Allah S.W.T berpesan kepada hambaNya supaya menjauhi zina melalui surah Al-Israa’, ayat 23 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk”.

Kita tidak mahu anak-anak yang sudah ditatang seperti minyak yang penuh melewati usia remajanya dengan terjebak ke lembah zina. Anak-anak merupakan pewaris bangsa dalam memperjuangkan agama. Mereka adalah aset masa depan negara, maka didiklah mereka mengikut acuan Islam.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
19 Ramadan 1438 | 14 Jun 2017