Ketepatan takrif keganasan penting dalam menjamin keselamatan negara

1. SUATU hal yang mesti juga diinsafi daripada kemelut ketengangan antara Arab Saudi, UAE dan Bahrain dengan Qatar ialah takrif keganasan itu sendiri.

Advertisement

2. Negara-negara Teluk terbabit dilihat bermudah-mudahan dalam menghukum Qatar dan Al-Qardhawi sebagai menyokong dan melakukan perbuatan keganasan.

3. Secara jelas juga, negara-negara tersebut tunduk kepada kemahuan Amerika Syarikat dalam memelihara pengaruh kuasanya dan kepentingan Israel daripada sebarang ancaman sehingga sanggup menggadaikan hak dan tanggungjawab terhadap sesama negara umat Islam.

4. Malaysia seharusnya mengambil pengajaran daripada insiden tidak bermaruah yang dilakukan oleh negara-negara Arab ini dengan memberikan suatu takrif yang tepat menurut perspektif Islam dan nilai-nilai segajat mengenai kegaganasan.

5. Ketepatan takrif ini adalah mustahak bagi memastikan Malaysia dapat menetapkan pendirian dan sikap berkaitan urusan dalam negeri dan dasar luar secara lebih berkesan bagi menangani isu ini.

6. Malaysia tidak boleh terpengaruh dengan intipati keganasan dalam faham Barat iaitu ancaman ‘daripada’ agama; dengan seringkali menjadikan agama Islam sebagai mangsa. Sedangkan, mereka pula bebas memberikan ancaman ‘kepada’ agama Islam tanpa melihatnya sebagai satu bentuk ‘keganasan’.

7. Saya tidak menafikan bahawa sudah terdapat huraian mengenai perbuatan keganasan dalam Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Keganasan. Namun, saya berpandangan bahawa takrif keganasan itu sendiri masih tidak jelas dan terdedah kepada manipulasi.

8. Saya menggesa Kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar Negeri agar membuat semakan semula terhadap takrif keganasan ini dan mencadangkan agar Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) segera bermuzakarah dan membuat ketetapan terhadap takrif keganasan ini.

”Sejahtera Bersama Islam”

YB. DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
14 Jun 2017 | 19 Ramadan 1438 – HARAKAHDAILY 14/6/2017