Cukai pelancongan, satu lagi penindasan

CUKAI pelancongan yang melibatkan rumah penginapan antara RM2.50 hinga RM20 semalam ikut bintang mulai Julai ini adalah tambahan penindasan bagi negara kita sudah banyak percukaian ini.
      
Sebelum GST – cukai barangan dan perkhidmatan – dilaksanakan rakyat sudah banyak dibebankan oleh segala macam cukai.
       
Apabila GST dilaksanakan dua tahun lalu ia adalah penindasan yang amat ketara yang terpaksa diderita oleh sekalian sang pengguna.
       
Kebaikan GST satu saja. Berbilion cukai dapat dikumpulkan dalam sistem itu saja bagi membantu negara menghadapi kesempitan dan kekeringan dananya untuk membolehkan negara bergerak.
      
Jika tidak ada cukai itu negara dan kerajaan boleh mati. Tetapi apa yang menyebabkan negara boleh mati sedang ia banyak hasil asli atau bahan mentah. Semua tahu sumber asli tidak cukup dan boleh habis. Itulah pemimpin yang berotak dan diberi amanah merancang pembangunan dan mencipta berbagai  teknologi dunia kita hidup.
      
Dengan pembangunan sudah dimulai sejak merdeka dan bermacam teknologi yang dicipta sendiri dan ditiru dari rantau asing, sepatutnya negara sentiasa cukup untuk semua keperluan penduduk, tidak perlu diseluk duit daripada saku rakyat untuk menampung kekeringan dan kekosongan perbendaharaan dan dana negara.
      
Hanya kerajaan yang dipimpin oleh yang tidak berotak dan bermewah dengan kekayaan negara, berbelanja lebih besar daripada pendapatan, maka jalan keluar yang senang tindas rakyat dengan mengadakan berbagai cukai.
      
Rakyat sudah tidak dapat bangun dengan beban GST, sekarang direka satu penindasan baru, cukai pelancongan. Pengusaha pelancongan tentulah terbeban dengannya. Tetapi pengusaha akan menyerahkan beban itu kepada pengguna, kerana ia sudah pun dibenarkan oleh cukai baru itu.
        
Pelancongan tidak bergantung kepada yang datang dari luar saja. Kita mahu mengubah cara hidup rakyat supaya menjadi pelancong domestik. Biar rakyat merasa hidup seperti rakyat negara maju dan terbuka, melancong sambil bersehat di pusat-pusat pelancongan.
      
Kian ramai sekarang rakyat bercuti bersama keluarga di pusat pelancongan yang disediakan. Yang ramai itu adalah sebahagian kecil daripada rakyat awam. Yang lain masih tidak mampu membawa keluarga berehat dan berkelah. Bagi mereka ia kehidupan mewah sekalipun harga penginapan dirasa rendah.
      
Industri tidak hidup atas bilik dan desa inap, tetapi ia hidup atas segala macam perkhidmatan dan perniagaan. Atas selera berbagai hidangan yang disediakan. Peserta umrah masuk percuma ke pasar kurma. Boleh rasa berbagai jenis dan spesies kurma percuma, masing-masing akan membeli dengan harga yang berpatutan.
        
Bagi membolehkan orang awam berpendapatan sederhana merasa hidup sedap seperti yang dirasa oleh anak-anak raja dan orang bangsawan yang sejak sekian lama pelancong dalam dan luar negera, maka jangan bebankan mereka dengan berbagai cukai tmbahan, kerana kedatangan mereka menginap di hotel rendah cukai atau bebas cukai, akan menghidupkan satu-satu pusat pelancongan.
      
Tuan hotel tidak kaya dengan sewa bilik yang tinggi tapi pelanggan berbelanja di hotel menjadikan mereka kaya. Kerajaan telah beroleh berbagai cukai daripada berbagai kegiatan, maka mengapa tumpang tindas pelancong dengan mencukai bilik/rumah yang mereka sewa?
      
Orang balik kampong kerana perayaan atau kahwin, tidak lagi menginap di rumah orang tua dan keluarga. Rumah orang tidak muat dengan cucu yang  ramai. Maka mereka tidur di hotel atau desa inap. Kita galakkan orang balik kampong. Maka dengan cukai itu kita tindas orang yang balik kampong. Demikianlah negara kaya cukai mengintai setiap sudut menindas rakyat. – HARAKAHDAILY 16/6/2017

Advertisement