Dakwaan Noh Omar tidak berasas

DAKWAAN Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak mengambil berat tentang pangsapuri-pangsapuri di kawasan Dewan Negeri Chempaka adalah tidak berasas dan hanya sekadar untuk mencari publisiti murah sahaja.

Advertisement

Dakwaan itu nyata tidak berasas kerana kerajaan negeri telah banyak membelanjakan peruntukan dan merancang untuk kemudahan penduduk di Chempaka terutamanya di pangsapuri-pangsapuri kos rendah.

Untuk makluman, sehingga hari ini, kerajaan negeri telah menawarkan peruntukan RM2.7 juta kepada 9 kawasan pangsapuri untuk dibaikpulih di bawah Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan atau CERIA. 90% peratus dari kerja-kerja itu telah siap dan sudah dapat dinikmati oleh penduduk.

Pangsapuri-pangsapuri itu adalah:

1.) Pangsapuri Inai Blok A, B, C dan D. (Mengecat Bangunan – 2012 Dan Baikpulih Saluran Air Hujan – 2016)

2.) Pangsapuri Pandan Jaya Blok L28. (Mengecat Bangunan – 2012)

3.) Pangsapuri Pandan Jaya Blok L34 & L35. (Mengecat Bangunan – 2013)

4.) Pangsapuri Tulip. (Baikpulih Saluran Air Hujan – 2012)

5.) Pangsapuri Merpati B. (Membaikpulih 9 Unit Tangki Air – 2012 & Membaikpulih Bumbung – 2016)

6.) Pangsapuri Pandan Utama. (Membina Rumah Sampah – 2017)

7.) Pangsapuri Seri Cahaya. (Membina Rumah Sampah – 2015)

8.) Pangsapuri Kos Rendah Taman Cahaya. (Mengecat Bangunan – 2012)

9.) Pangsapuri Kos Sederhana Taman Cahaya (Membaikpulih 4 Unit Lif – 2016)

Ini adalah sebahagian dari RM108 juta peruntukan di bawah Skim CERIA yang telah dibelanjakan untuk keseluruhan negeri Selangor sejak 2011.

Kerajaan negeri juga telah membelanjakan RM792,000 melalui skim baikpulih jalan di pangsapuri-pangsapuri kos rendah yang melibatkan 3 kawasan pangsapuri kos rendah di dalam kawasan Chempaka iaitu:

1. Pangsapuri Taman Cahaya Indah.

2. Rumah Pangsa 610 Pandan Indah.

3. Pangsapuri Seri Cahaya.

Prihatin tentang isu lif yang sentiasa membelenggu penduduk pangsapuri, sejumlah RM1.1 juta telah diperuntukkan untuk membaiki 4 unit lif di 2 kawasan pangsapuri di Chempaka. Kerja-kerja dijangka dimulakan pada Julai tahun ini.

Peruntukan ini adalah sebahagian dari RM30 juta di bawah program baikpulih dan penyelenggaraan lif di bawah progran SMART LIFE untuk seluruh negeri Selangor bagi tahun 2017.   

2 kawasan pangsapuri tersebut adalah:

1. Pangsapuri Kos Rendah Pandan Utama

2. Pangsapuri Kos Rendah Pandan Cahaya

Oleh yang demikian, Pangsapuri Kos Rendah Pandan Utama yang dilawati oleh menteri telah dipilih untuk program SMART LIFE. Tetapi memandangkan Kerajaan Persekutuan akan membaikpulih lif-lif di situ maka kawasan pangsapuri lain akan dipilih untuk menggantikan Pangsapuri Kos Rendah Pandan Utama.

Program-program yang dinyatakan tidak termasuk peruntukan dan skim lain yang memberikan faedah secara langsung kepada penduduk di kawasan perumahan berstrata. Di antaranya adalah pengecualian cukai pintu bagi semua rumah kos rendah bagi tahun 2016 dan 2017.

Kerajaan negeri secara konsisten membantu penduduk perumahan berstrata terutamanya penduduk pangsapuri-pangsapuri kos rendah. Kami bukan seperti Kerajaan Persekutuan yang tiba-tiba muncul dan menawarkan bantuan apabila pilihan raya hampir tiba. Oleh itu, kami yakin rakyat akan menolak sandiwara politik yang dimainkan ini.

Tetapi kami tidak ada masalah jika Kerajaan Persekutuan benar-benar hendak menurunkan peruntukan untuk membaikpulih pangsapuri-pangsapuri kos rendah di Selangor. Negeri ini menyumbang 22.6 peratus dari KDNK negara maka adalah satu kewajipan bagi Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kepada negeri Selangor.

Dato’ Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Negeri Selangor
16 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 16/6/2017