Juruterbang TUDM terkorban, DMPM rakam takziah

DEWAN Muslimat PAS Malaysia (DMPM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Hawk 108 yang ditemui terbunuh, semalam. Penemuan mayat Allahyarham Mejar Hasri Zahari, 31, dan Mej. Yazmi Mohamed Yusof, 39, kira-kira jam 2.30 petang semalam menamatkan pencarian selepas pesawat dinaiki terputus hubungan setelah berlepas pada jam 11 pagi. Kedua-dua Allahyarham telah berkhidmat selama 19 tahun dan 13 tahun masing-masing bersama TUDM.

Advertisement

Kehilangan mereka dirasai. Semoga segala jasa mereka terhadap negara bernilai ibadah disisi Allah S.W.T. Kami mendoakan kekuatan buat ahli keluarga mangsa. Semoga Ramadhan yang berbaki dilalui dengan penuh ketabahan. Sesungguhnya madrasah Ramadan kali ini banyak memberi pengajaran buat kita semua. Marilah sama-sama kita jadikan kematian saudara kita sebagai peringatan kepada diri sendiri. Hayatilah Firman Allah S.W.T bermaksud: “Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya.” (Al-‘A`raf ayat 7)

“Dan Dialah yang mempunyai kekuasaan tertinggi di atas semua hamba-Nya, dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga, sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu, ia diwafatkan oleh malaikat-malaikat Kami, dan malaikat-malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajibannya”. (Al An’aam : 61)

Kepada seluruh keluarga juruterbang pesawat pejuang Hawk108 yang terlibat, semoga terus diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi hari yang mendatang. Semoga Allah menempatkan roh mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Sebagai saudara seagama, ayuh kita doakan arwah ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-fatihah.

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
21 Ramadhan 1438 / 16 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 16/6/2017