PAS ajak masyarakat daftar pemilih untuk tukar kerajaan

undipas

Advertisement

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mengajak dan menyeru masyarakat untuk mendaftar sebagai pemilih dalam usaha untuk menukar kerajaan yang sedia ada supaya negara akan ditadbir dengan lebih baik dan kebajikan golongan miskin terbela.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Semarak Kasih Ramadhan yang merupakan program tahunan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

Turut hadir Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr Rosni Adam,  Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Noor Mohamad dan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Selangor, Dr Rani Osman.

Acara tahunan itu diadakan bertujuan untuk meraikan golongan miskin, gelandangan dan orang ramai di sekitar Lorong Haji Taib berhampiran Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, petang semalam.

Walaupun telah memasuki tahun yang kesembilan diadakan, Semarak Kasih Ramadhan terus mendapat sambutan dan perhatian daripada orang ramai di sekitar Kuala Lumpur khususnya sekitar Jalan Raja Laut.

Sekitar 300 orang pengunjung pelbagai kaum dan agama hadir di majlis itu dan menerima sumbangan daripada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

“Yang kaya terus kaya, manakala yang miskin dipinggirkan sedangkan terlalu ramai golongan yang miskin. Sebaiknya kekayaan itu dikongsi bersama agar semua orang medapat manfaat daripadanya,” ujar Tuan Ibrahim.

Beliau juga mengajak masyarakat yang hadir untuk sama-sama mendoakan PAS agar dapat memerintah Malaysia dengan jaya pada suatu hari nanti. – HARAKAHDAILY 19/6/2017