PAS pelopori politik berasas fakta

BUDAYA Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dirintis PAS berusaha mengubah politik hanya berdasar persepsi kepada politik berpandu fakta.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata BPMS diusahakan PAS sebagai kesinambungan perjuangan yang ditinggalkan Rasulullah SAW.

Katanya PAS berusaha mendedahkan politik sebenar yang berasaskan fakta dan bukan berlegar kepada persepsi semata-mata.

“Kita berusaha mempertahankan Islam bagi mencapai kemanisan iman. Sebaliknya musuh pula tidak akan memberi peluang untuk melihat Islam mencapai kemenangan,” katanya pada ceramah Badar Kubra di Madinah Ramadan malam tadi.

Hadir sama anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Abdul Rahman Yunus dan Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Nik Mohamed Noor Nik Ishak.

Ceramah tersebut diadakan seusai solat tarawih kira-kira jam 10 malam. Sebelum itu ribuan yang hadir menunaikan solat tarawih diimamkan Sheikh Hissam Abdul Bari dan Syeikh Yasir Al- Syarqawi.

Ketika permulaan solat tarawih hujan turun agak lebat, menyejukkan sedikit suasana sekitar Madinah Ramadan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV.

Tuan Ibrahim juga berkata PAS di Kelantan sekarang berdepan dengan dua musuh bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.

Katanya, kalau dahulu hanya Umno dan Barisan Nasional yang menjadi musuh bagi menumbangkan kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama.

“Namun sekarang ada parti baharu juga mahu menjatuhkan kerajaan di bawah teraju ulama. Sedangkan arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz membina asas Islam dalam tempoh begitu lama.

“Bagaimanapun sekarang ada pihak yang meruntuhkan asas Islam dibina sejak 1990,” ujar beliau.

Ustaz Tuan Ibrahim pada sebelah petang menghadiri program taklimat isu semasa menjelang PRU14 di Putik.

Petugas PAS dari seluruh Kelantan hadir pada program tersebut yang berakhir dengan iftar. – HARAKAHDAILY 20/6/2017