Adakah kita makhluk yang buat kerosakan atas muka bumi?

MALAIKAT telah meramalkan sejak penciptaan Adam a.s. lagi akan tindak tanduk manusia yang bakal melakukan kerosakan di atas muka bumi ini.

Advertisement

Semestinya setiap kali Ramadan dan menjelangnya Syawal, pelbagai persiapan dibuat. Pasar-pasar raya penuh siang dan malam. Seharian sibuk menyediakan juadah berbuka puasa dan berhari raya, malamnya pula dihidupkan dengan temasya ibadah.

Namun, dalam keghairahan kita memburu taqwa, sayugia diingatkan bahawa hakikat penciptaan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini juga menuntut tanggungjawab menjaga alam sekitar sebagai intipati kepada taqwa.

Sebahagian besar ayat-ayat Al-Quran bercerita mengenai penciptaan alam semesta ini sebagai tanda kebesaran Allah swt. Penciptaan gunung ganang, bukit bukau, sungai, laut, tumbuhan serta binatang-binatang yang menakjubkan adalah tanda-tanda kekuasaan Allah swt bagi hambaNya yang berfikir.

Maka, jadikanlah Ramadan yang masyhur sebagai medan penyucian diri ini sebagai satu ingatan untuk kita menjaga alam sekitar kurniaan serta dugaan daripada Allah swt. Adalah menjadi ironi sekiranya kita giat berbicara dan mengerjakan tulang empat kerat beribadah mencari Redha Allah swt tetapi pada masa yang sama kita mengabaikan makhluk Allah di sekeliling kita.

Kajian oleh pihak pengurusan sisa pepejal menunjukkan peningkatan mendadak penghasilan sampah sewaktu bulan Ramadan. Ayuh bersama kita gerakkan kesedaran untuk meningkatkan aktiviti kitar semula di sekeliling kita.

Masih belum terlambat. Pastikan Aidilfitri ini juga kita semua sama sama memberikan fokus kepada alam sekitar dan kebersihan.                        

Nazman Che Iberahim
Pengerusi Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda PAS Malaysia