Atasi segera punca pencemaran sungai di Kangar

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat punca sungai di Kangar, Perlis mengalami pencemaran yang serius dan mengambil langkah-langkah wajar untuk mengatasi pencemaran di sini.
 
Tinjauan SAM mendapati berbagai bahan buangan terutama barangan plastik terapung di permukaan sungai di sini manakala airnya kelihatan kotor serta berkelodak. SAM kesal walaupun masalah ini sudah lama berlaku tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasi pencemaran ini.
 
SAM berpendapat jika masalah tersebut dibiarkan akan berlaku pula pencemaran bau busuk pada masa akan datang. Jika keadaan ini berlaku mungkin aktiviti perniagaan dan sumber pendapatan para peniaga makanan berhampiran sungai di sini akan turut terjejas.
 
Selain itu pencemaran ini juga boleh mengancam pembiakan ikan di dalam sungai terbabit dan mencetuskan masalah kesihatan di kalangan orang ramai jika ia tidak ditangani dengan segera.
 
Tindakan membuang sampah ke dalam sungai akan menyumbang kepada berlakunya banjir kilat. Pengaliran air akan tersekat kerana sistem saliran tersumbat. Jika air bertakung ia akan menjadi tempat pembiakan nyamuk dan boleh mencetuskan wabak penyakit merbahaya.
 
Justeru SAM berharap agar MPK dan JPS melakukan pemantauan secara menyeluruh melibatkan gerai makanan, premis perniagaan, kawasan perumahan dan Pasar Kangar bagi mengenal pasti punca berlakunya kejadian pencemaran ini.
 
Di samping menguatkuasakan Akta Kerajaan Tempatan 1976 berkaitan pencemaran anak sungai dengan lebih tegas, sistem pengurusan sisa termasuk sisa kumbahan perlu dipertingkatkan.  Orang awam serta peniaga juga perlu turut bertanggungjawab dalam memastikan kebersihan persekitaran terjamin.
 
SAM terkejut dan kecewa bila melihat keadaan pantai di Kuala Perlis yang dipenuhi sampah yang terdampar di kawasan ini.  Dengan ini SAM menggesa orang ramai dan para peniaga makanan supaya mengutamakan kebersihan alam sekitar ketika menjalankan aktiviti harian.  
 
SM MOHAMED IDRIS
Presiden Sahabat Alam Malaysia

Advertisement