Dapur Rakyat Jabatan Amal sedia makanan untuk mangsa banjir

KEJADIAN banjir kilat di Kg. Bt. 10 Hulu Langat, Sabtu lepas melibatkan lebih 2,000 mangsa terjejas berikutan hujan lebat yang turun pada waktu petang hari sebelumnya sehingga menenggelamkan beberapa buah rumah dan beratus lagi dimasuki air.

Advertisement

Lajnah Kebajikan PAS Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Dr Abd Rani Osman turut sama Dr Che Rosli Che Mat, Razaly Hassan, Ustaz Shafie Ngah bersama Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Selangor dan Muslim Care telah tampil dengan pantas memberi bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas dengan membentuk satu pasukan “Task Force Banjir Langat”.

Menurut Pengarah Jabatan Amal Negeri Selangor,  Shehdi Hazrik Shamsudin, keseluruhan operasi ditempatkan di Kompleks Penghulu Batu 14, Hulu Langat yang melibatkan pasukan Dapur Rakyat, Markas Skuad Bantuan Pembersihan rumah dan sekolah, serta pusat pengumpulan barangan bantuan.

“Kita telah menyediakan makanan sahur pagi tadi dan petang pula makanan untuk berbuka puasa kepada 2,000 mangsa banjir,” katanya.

PAS dan Jabatan Amal kini dilihat sentiasa terkehadapan dalam menawarkan bantuan dan khidmat semasa berlaku bencana alam,

Khidmat Dapur Rakyat antara bantuan yang sangat membantu semasa pemulihan bencana seperti banjir kilat.

Penyelaras Operasi Task Force Banjir Langat, diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Kawasan Hulu Langat, Zurk Ahmad  yang juga Timbalan Pengarah 1 Bahagian Operasi JAM  memaklumkan sumbangan makanan yang diterima adalah daripada Muslim Care, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dari Sg Tua, Meru, Bangi, Sri Serdang Noor Hanim Ismail dan orang ramai termasuk syarikat air ABBAS.

Ketua Operasi JAM Negeri Selangor pada kali ini diketuai oleh Timbalan Pengarah, Mashadi Saien mamaklumkan sehingga kini anggota Amal Selangor masih aktif meneruskan misi bantuan dalam bentuk menyediakan tenaga pembersihan rumah, mengumpul bantuan kewangan, serta Dapur Rakyat bagi penyediaan makan minum kepada mangsa-mangsa banjir serta petugas-petugas yang terlibat.