Kejayaan OKU Kelantan dibukukan

KECEMERLANGAN golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam pelbagai bidang di Kelantan akan dibukukan.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Mumtaz Mat Nawi berkata, buku itu boleh dijadikan sebagai arkib untuk rujukan masa hadapan.

Menurutnya, golongan OKU Kelantan telah mencatat pelbagai kejayaan besar termasuk dalam akademik, perniagaan, sukan, penceramah dan NGO.

“Nama mereka tercatat dalam lipatan sejarah sehingga menjadi perhatian masyarakat,” katanya pada majlis Mahabbah Ramadan OkU anjuran kerajaan negeri di Dewan Jubli Perak MPKB BRI, di sini petang semalam.

Menurutnya buku kejayaan OKU dalam tempoh 10 tahun boleh menjadi rujukan orang ramai dan sebagai motivasi.

Kata beliau kadang-kadang kejayaan OKU tidak mampu dilaksanakan insan normal.

Antaranya kejayaan Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 18, yang cacat penglihatan dalam tilawah al-Quran begitu membanggakan.

Begitu juga Ahmad Faiz Ibrahim, 18 muncul pelajar cemerlang STAM.

Sempena program tersebut tujuh persatuan OKU diraikan antaranya Persatuan Insan Istimewa Kelantan (Insani), Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Kelantan.

Selain itu Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Persatuan Orang Pekak Kelantan, Persatuan Orang Kurang Upaya Kerusi Roda Kelantan (Okusida) dan Persatuan Prihatin Minda Istimewa Kelantan.

Hadir sama Presiden Pertis, Mohd Faizal Che Yusof yang seorang peguam cacat penglihatan. – HARAKAHDAILY 21/6/2017