Perutusan Aidilfitri 1438: Ramadan mencetak insan bertakwa

FIRMAN Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.”

Advertisement

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan kasih sayang dan rahmatNyalah kita masih diberikan kesempatan untuk merebut ganjaran pahala berlipat ganda di 10 malam terakhir bulan Ramadhan Al Mubarak pada tahun ini.

Ramadhan 1438H kini semakin meninggalkan kita semua dengan pelbagai emosi samada ianya ditangisi ataupun dihiasi dengan riang ria sambutan Aidilfitri. Sebagai orang yang telah bertahun-tahun memasuki Ramadhan dan masih lagi diberikan kesempatan untuk berada di dalam Madrasah Ramadhan kali ini maka sudah sewajarnyalah kita sebagai seorang muslim dan mukmin dapat memahami dan menghayati konsep suruhan ibadah berpuasa di bulan Ramadhan. Penghujung kepada suruhan ini adalah harapan supaya manusia yang berpuasa Ramadhan akan menjadi insan yang bertaqwa.

Taqwa berasal dari kata waqa, yaqi dan wiqayah yang berarti takut, menjaga, memelihara dan melindungi. Maka taqwa dapat diistilahkan sebagai sikap memelihara keimanan yang membentengi manusia daripada hal-hal yang menakutkan dan mengkhuatirkan. Oleh kerana itu, orang yang bertaqwa adalah orang yang takut kepada Allah SWT berdasarkan kesedaran untuk mengerjakan segala suruhan perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya kerana takut terjerumus ke dalam perbuatan dosa.

Taqwa juga bermaksud seseorang yang selalu beringat dan waspada terhadap sesuatu perkara di dalam rangka untuk memelihara dirinya dari noda dan dosa, selalu berusaha untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang baik dan benar, pantang berbuat salah dan melakukan kejahatan kepada orang lain, diri sendiri dan persekitarannya. Dengan kepelbagaian maksud yang terkandung di dalam taqwa, maka kedudukannya adalah sangat penting di dalam Agama Islam dan kehidupan manusia kerana taqwa adalah asas ukuran pekerjaan seorang muslim. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud : “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu”.

Sesungguhnya inilah matlamat daripada berpuasa iaitu membina insan bertaqwa kerana orang yang bertaqwa sahaja akan tunduk kepada Allah SWT dan berpegang teguh dengan Al-Quran yang akan menunjuk manusia jalan hidayah dan kebenaran. Ketaqwaan kepada Allah SWT dapat dilahirkan melalui keimanan yang kuat dan amalan yang ikhlas kepada Allah SWT.

Ia dapat diterjemahkan melalui ibadat puasa yang diperintahkan oleh Allah SWT. Semua orang mengakui bahawa makan, minum, memenuhi keperluan nafsu syahawat di siang hari adalah fitrah tetapi ianya diharamkan di bulan Ramadhan pada sebelah siangnya. Perkara-perkara ini adalah menjadi tujuan bagi kelangsungan hidup manusia dan menjadi matlamat hidup mereka.

Tiba-tiba makan, minum dan memenuhi tuntutan syahwat yang begitu penting bagi maslahat hidup manusia ini tidak diizinkan oleh Allah SWT di siang hari dalam bulan Ramadhan. Padahal ianya adalah halal pada bulan-bulan yang lain. Kesanggupan kita meninggalkan makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah bukti keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT yang tidak dapat dibuktikan dengan amalan yang lain. Kesanggupan kita ini telah menjadikan kita orang yang sanggup mengutamakan perintah Allah SWT mengatasi keperluan hidup kita sendiri. Inilah maksud dan matlamat puasa iaitu melahirkan insan yang bertaqwa yang akan dimuliakan di sisi Allah SWT.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama muhasabah kembali puasa kita sebelum berakhirnya Ramadhan kali ini. Masih belum terlewat untuk kita mengkoreksi dan menampung segala lompang-lompang ibadah puasa kita dengan memperbanyakkan taubat kepada Allah SWT, bertadarus dan mentadabbur isi kandung Al-Quran, memperbanyakkan sadaqah jariah, memperhebatkan Qiamullail dan iktikaf di masjid/surau di kawasan kita agar kita mampu mencapai taqwa dalam erti kata yang sebenar.

Marilah kita bersama-sama mempastikan bahawa pada tanggal 1 Syawal 1438H nanti kita akan benar-benar mencapai kemenangan menundukkan nafsu dengan terus beristiqamah di dalam ketaatan kepada Allah SWT sehinggalah ke Ramadhan yang akan datang.

Janganlah kita menjadi manusia seperti yang disifatkan oleh Syeikh Dr. Yusof Al-Qardhawi iaitu “Kun Rabbaniyyun wa Laa Takun Ramadhaniyyun – Jadilah kalian hamba-hamba Rabb (Allah) yang mengibadahiNya di segala waktu dan janganlah menjadi hamba-hamba Ramadhan yang hanya beribadah di bulan Ramadhan”. Teruskanlah ibadah kita di dalam bulan Syawal dengan berpuasa sunat 6 hari kerana Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : “Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringinya dengan puasa enam hari bulan Syawal, bererti ia telah berpuasa setahun penuh.” (H.R Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah).

Salah satu faedah terpenting daripada pelaksanaan puasa enam hari bulan Syawal ini adalah untuk menutupi kekurangan puasa wajib pada bulan Ramadhan. Sebab puasa yang kita lakukan pada bulan Ramadhan pasti tidak terlepas dari kekurangan atau dosa yang dapat mengurangi keutamaannya. Pada hari kiamat nanti akan diambil pahala puasa sunat tersebut untuk menutupi kekurangan puasa wajib.

Akhirnya, saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan Taqabbalallahu minna wa minkum, Selamat Hari Raya Aidilfitri 1438 Hijrah, Minnal ‘Aidil Wal Faizin, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh Umat Islam di Malaysia dan di Selangor khususnya. Rapatkan silaturrahim, mesrakan ukhuwah, tolak ekstrimis dan keganasan serta tidak berbelanja secara berlebihan.

Semoga anak-anak perantau yang akan pulang berhari raya di kampung dapat merancang perjalanan dengan sebaiknya agar selamat sampai ke destinasi.  Didoakan juga semoga seluruh ibadah kita sepanjang Ramadhan kali ini diterima oleh Allah SWT.  

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd

DATUK DR. AHMAD YUNUS HAIRI
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan , Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi Negeri Selangor
26 Ramadhan 1438 H bersamaan 21 Jun 2017 M – HARAKAHDAILY 21/6/2017