DACS rakam lagu dan video drama pendek raya

DEWAN Pemuda PAS Malaysia melalui Department of Arts, Culture and Sports (DACS) DPP Malaysia telah selesai rakaman lagu dan video cerita pendek sempena Hari Raya Idulfitri bagi tahun 2017. Projek lagu raya beserta video cerita pendek ini adalah kesinambungan video cerita pendek raya yang telah dimulakan oleh DACS DPP Gombak sejak 5 tahun lepas lagi. Kali ini melalui gabungan DACS DPP Malaysia, Selangor dan Gombak akan cuba menghasilkan satu kelainan baru dalam video klip terbitan kami.

Advertisement

Konsep video kali ini adalah menggabungkan lagu dan drama pendek di dalam satu video klip. Inilah kelainan yang cuba ditonjolkan berbanding tahun-tahun sebelum ini yang hanya menekankan elemen drama pendek tanpa ada lagu ciptaan sendiri. Alhamdulillah, tahun ini lagu raya versi Pemuda PAS turut diselitkan bagi menambah baikkan lagi jalan ceritanya.

Sesi rakaman terbahagi kepada dua iaitu rakaman lagu dan rakaman drama pendek. Tempoh keseluruhan untuk menghasilkan karya ini lebih kurang selama satu bulan. Idea diperah satu persatu, latihan vokal untuk lagu, lakonan, penyuntingan dan lain-lain terpaksa ditempuhi bagi menghasilkan satu karya yang baik untuk tatapan seluruh rakyat Malaysia.

Video pendek ini turut dibintangi oleh pelakon istimewa iaitu Ketua Pemuda PAS Malaysia itu sendiri, Ustaz Muhammad Khalil Abd Hadi. Juga turut dibintangi oleh Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi, Ketua Pemuda PAS Gombak, Ustaz Dr Mad Nor, Pengarah DACS DPPM, Muhammad Fadzli dan lain-lain pelakon daripada Pemuda PAS Gombak.

Menurut Muhammad Fadzli, Pengarah DACS DPP Malaysia, video lagu dan drama pendek raya ini dihasilkan adalah untuk menyampaikan mesej dakwah Islam kepada masyarakat di luar sana melalui video pendek. Disamping pendekataan kontemporari melalui video yang dekat di hati para pemuda yang mana ia mudah diakses melalui telefon tangan masing-masing. Masyarakat perlukan alternatif lagu dan drama pendek raya yang dapat menyampaikan mesej dakwah kepada para pemuda khususnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.

Harapan kami, semoga video terbitan DACS DPP Malaysia bersama DACS Selangor dan Gombak ini dapat diterima oleh seluruh masyarakat dan seterusnya dapat ditularkan seluas-luasnya agar ia sampai ke telefon tangan masing-masing. – HARAKAHDAILY 22/6/2017