Keistimewaan PR1MA, PPA1M batal jika Pusat tidak ubah sikap

KERAJAAN Negeri Selangor akan membatalkan keistimewaan yang diberikan kepada Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) jika Kerajaan Pusat terus mengambil sikap berkonfrontasi dengan Kerajaan Negeri di dalam isu-isu perumahan.

Advertisement

Sebelum ini Kerajaan Negeri telah memberikan PR1MA dan PPA1M keistimewaan yang sama seperti Rumah Selangorku iaitu peningkatan kepadatan sehingga 120 unit kediaman seekar. Kepadatan pembangunan biasa adalah di antara 30 hingga 70 unit kediaman seekar.

Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam isu-isu perumahan tetapi Kerajaan Pusat mengambil sikap berkonfrontasi di dalam beberapa isu seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Permai, Lembah Subang.

Kerajaan Negeri mahu sentimen politik diketepikan di dalam isu-isu yang melibatkan kebajikan rakyat seperti perumahan. Tetapi Kerajaan Pusat terutamanya Menteri yang terlibat dilihat lebih suka bermain politik.

Kerajaan Pusat kelihatan lebih berminat untuk menyerang Kerajaan Negeri dari menyelesaikan masalah rakyat.

Untuk PPR tersebut, Kerajaan Pusat telah bertegas untuk mengambil alih pembangunan itu dan enggan melayan tuntutan kos Kerajaan Negeri membaikpulih dan menyelenggara yang telah dibelanjakan.

Cadangan pembatalan ini akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan sehingga keputusan dibuat semua permohonan untuk peningkatan kepadatan daripada PR1MA dan PPA1M akan dibekukan.

Perkembangan ini bukan bertujuan untuk menghalang PR1MA atau PPA1M dari melaksanakan projek di Negeri Selangor. Sebaliknya mereka dialu-alu untuk membina rumah di Selangor tetapi perlu mematuhi syarat-syarat seperti yang digariskan di dalam Rancangan Tempatan (RT) Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing. Hanya Rumah Selangor diberikan keistimewaan untuk meningkatkan kepadatan pembangunan.

DATUK ISKANDAR A. SAMAD
Exco Perumahan Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan
Negeri Selangor
23 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 23/6/2017