Perutusan Aidilfiri DMPM: Maknakan Syawal dengan penuh ketaqwaan

eid.mubarak

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat ilahi atas limpah dan rahmatnya sehingga mempertemukan kita semua dengan Syawal 1438H tahun ini.

Advertisement

eid.mubarakPerutusan Aidilfiri DMPM: Maknakan Syawal dengan penuh ketaqwaan

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat ilahi atas limpah dan rahmatnya sehingga mempertemukan kita semua dengan Syawal 1438H tahun ini. Bersyukur juga atas nikmat usia dan kesihatan yang membolehkan kita berjaya melalui madrasah Ramadhan selama sebulan. Sesungguhnya hari ini merupakan hari kemenangan buat umat Islam setelah sebulan berpuasa.  Eidul fitri juga merupakan hari di mana umat Islam kembali kepada fitrah. Ia merupakan rahmat Allah S.W.T kepada umat Nabi Muhammad S.A.W.

Sempena meraikan hari lebaran ini, marilah bersama-sama panjatkan kesyukuran atas segala nikmat rahmat yang telah diberikan olehNya, raikan bersama dengan keluarga, sanak saudara serta sahabat handai. Bersederhanalah dalam menyambut hari mulia ini, banyakkan bersedekah dan berikan senyuman gembira buat insan di sekeliling kita.Sebagai peringatan bersama, dalam bertemu adik-beradik dan saudara-mara di kampung halaman, perlu saling ingat-mengingatkan tentang batasan pergaulan dan menjaga aurat perlu diutamakan. Semoga kita bersama sentiasa menjaga syariat Islam dan menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza pendapat dan pandangan.

Sebelum pulang ke kampung halaman, pastikan kediaman dalam keadaan yang selamat, kenderaan telah diperiksa dan diservis dan mulakan langkah musafir anda dengan doa dan banyakkan berzikir dan berselawat. Insyaallah selamat pulang dan kembali ke destinasi masing-masing.

Akhir kalam, Salam Eidul Fitri dari kami Dewan Muslimat PAS Malaysia, mohon maaf dipinta atas segala kekurangan. Semoga amalan di bulan Ramadhan diterima oleh Allah dan teruskan semangat beribadat dan amalan baik di hari-hari seterusnya.

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
29 Ramadhan 1438 H / 24 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 24/6/2017