Sayu ditinggal Ramadan

SubkyLatif

SAYA tulis rencana ini dua hari sebelum Ramadan meninggalkan dunia kita tahun ini.
      
Sebelum ia pergi sudah terasa sunyinya. Orang-orang yang mendapat rahmat taqwa dari barakah kehadiran Ramadan di zaman sahabat dulu dan orang-orang yang selepasnya mengeluarkan air mata bia ditinggalkan Ramadan.
       
Sekalipun pemergiannya untuk selama sebelas bulan sebelum kedatangannya semula tahun depan disambut dengan keceriaan Idil Fitri, menghalalkan makan siang, tetapi boleh makan siang itu tidak dapat menggantikan sayu pemergiannya.
      
Pertama tidak dapat rahmat yang semua boleh dapat dalam itu tetapi rugi jika tidak dapat bertemunya lagi tahun depan. Itulah yang dirasakan oleh semua bila Ramadan jadi Ramadan terakhir baginya. Beruntunglah mereka yang pergi dulu sebelum Ramadan meninggalkannya. Akan tetapi lebih beruntung mereka yang berulang-ulang dapat bersama Ramadan  lagi selepas Ramadan yang pergi kali ini.
      
Pengalaman yang lalu, setiap mejelang berbuka semua syukur dan ceria dapat nikmat berbuka. Bagi yang berbuka di masjid dan surau, terasa riangnya berkumpul rakan sekariah setengah jam sebelum berbuka dan rahmatnya berjamaah Maghrib selepas berbuka. Memang menjelang berbuka hingga tengah malam masjid dan surau di mana-mana jadi masa yang amat makmur berganda dari bulan-bulan lain.
     
Selepas malam terakhir berbuka seri makmur masjid turun mendadak. Malam pertama Syawal terasa sunyi. Lepas berjamaah Maghrib rata-rata keluar masjid dan datang semula menjelang Isyak. Lepas Isyak masjid pun gelap, sunyi macam sunyi rumah selepas kematian.
      
TIdak sama sayu pemergian Ramadan dibandingkan sayu rumah selepas kematian. Tetapi bagi yang tinggi taqwanya pemergian Ramadan itu lebih terasa. Pilu kematian adalah pilu yang tidak mungkin bertemu lagi, tapi pilu pemergian Ramadan dipasang dengan harapan dapat bertemu lagi berkali-kali.
      
Yang merindukan semua tentang Ramadan ialah menjanjikan rahmat taqwa. Yang sudah taqwa meningkat taqwanya. Yang belum taqwa moga dijelmai taqwa dengan kedatangannya.
      
Sepuluh malam pertama disediakan rahmat berganda dari  rahmat setiap hari sepanjang tahun. Sepuluh malam kedua disedia rahmat pengampunan semua  dosa, dan sepuluh malam terakhir dianugerah janji bebas dari api neraka dicampur serenaknya kedatangan Lailaul Qadar, bagi sesiapa yang mendapat rahmat nescaya beroleh syafaat yang lebih baik dari seribu bulan, sedang masing-masing tidak dapat hidup sampai seribu bulan.
      
Jika dalam hidup kita dikunjungi lebih sepuluh kali oleh Lailatul Qadar, apakah tidak cukup bertuah orang yang bertaqwa dengan kedatangan Ramadan. Jika boleh kita mahu biar sepanjang tahun itu Ramadhan. Tetapi Ramadhan perlu pergi, kerana kita mahu berhaji, mahu berkorban setiap Idil Adha.
     
Kerelaan kita perginya Ramadan adalah bagi mendapat peluang melakukan ibadat lain di bulan-bulan lain.
     
Tetapi ruginya semua dengan pemergian Ramadan itu ialah kita dapat pahala 70 solat fardu bagi setiap solat fardu. Adalah kita sedar sehari dalam bulan puasa kita dapat 350 pahala solat fardu. Bayangkan dalam masa sebulan itu kita sudah kumpulkan 10,500 solat waktu. Sedang dalam bulan kita dapat 150 waktu saja dan bagi sebelas bulan yang lain kita dapat kumpul 1,650 waktu saja.
       
Dan jika dapat tunai sstu solat sunat tiap-tiap satu sama dengan satu pahala sunat fardu. Terpulanglah kita sudah rebut itu.
     
Itu tidak termasuk pahala puasa yang malaikat tidak diberi hak mencatat pahalanya kerana Allah sendiri menentukannya. Jika bumi dan langit ini kita rasa cukup luas, ia hanya kecil dibandingkan rahmat Ramadan yang dijanjikan kepada sekalian muttaqin. – HARAKAHDAILY 24/6/2017

Advertisement