Perutusan Hari Raya Aidil Fitri Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

ulama

Sesungguhnya kedatangan hari raya Aidil Fitri adalah suatu anugerah Allah kepada umatnya untuk meraikan kemenangan melaksanakan ibadah puasa selama sebulan.

Advertisement

ulamaAssalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saidina Anas R.A ada berkata:

Maksudnya: “Ketika Nabi SAW datang ke Madinah, didapati penduduk Madinah mempunyai dua hari yang mereka sambutnya dengan riang dan berseronok. Maka baginda bersabda “Setelah aku datang ke tempat kamu dan mendapati kamu mempunyai dua hari raya (pada masa Jahiliyah) yang kamu sambutnya dengan riang dan bermain (sesama kamu). Sesungguhnya Allah telah mengganti keduanya dengan yang lebih baik bagi kamu, iaitu hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha”. (Riwayat Al-Nasaie dan Ahmad)

Sesungguhnya kedatangan hari raya Aidil Fitri adalah suatu anugerah Allah kepada umatnya untuk meraikan kemenangan melaksanakan ibadah puasa selama sebulan. Hari yang masih berbaki pada hari ini hendaklah disertakan dengan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah. Menjelangnya hari raya nanti, kita akan menyambutnya dengan laungan takbir dan ini membuktikan hakikat kesyukuran yang diraikan oleh umat Islam seluruhnya. Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) diatas kurniaan hidayah kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Al-Baqarah: 185)

Hari raya turut menggambarkan kepada kita episod perjuangan umat Islam menentang kerakusan hawa nafsu dan serangan musuh Islam terhadap agama. Allah akan menguji umat Islam untuk mengetahui sejauh mana kesediaan mereka melaksanakan janji terhadap Allah dan kesanggupan mereka dalam berkorban untuk Islam. Dengan hasil usaha ini, Allah pasti akan memberi kemenangan pada suatu masa yang ditentukan.

Begitulah keadaannya ketika kita berpuasa. Pelbagai cubaan dan rintangan dihadapi untuk Allah mengurniakan pada 1 Syawal kemenangan-Nya yang hakiki. Dewan Ulamak PAS Pusat akan sentiasa berdiri teguh dalam mempertahankan tuntutan Islam dan memperjuangkan pelaksanaan syariat di Malaysia tercinta walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Saya dan seluruh kepimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat mengajak seluruh umat Islam untuk berganding-bahu dalam membangunkan masyarakat dan negara yang sejahtera demi memperjuangkan syariat. Sempena sambutan hari raya bagi tahun 1438 Hijriyah ini, seluruh saff kepimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada seluruh umat Islam dimana sahaja mereka berada, Maaf Zahir Batin.

SEJAHTERA BERSAMA ISLAM

MEMBINA NEGARA SEJAHTERA

USTAZ DATO’ DR. HJ. MAHFODZ MOHAMED
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat