Operasi Unit Amal kutip sampah di lebuh raya

TARIKH 4 Syawal, di saat masih ramai yang beraya dan bergembira bersama kaum keluarga di kampung halaman, anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Kelantan dan Jabatan Amal Malaysia Kuala Lipis turun bertugas di bawah terik mentari mengutip sampah sepanjang puluhan kilometer di lebuhraya Kuala Lipis-Merapoh.

Advertisement

Seramai 31 orang anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Kelantan berpadu tenaga dengan 25 orang anggota Jabatan Amal Malaysia Kuala Lipis memulakan Operasi Bersih Khas Raya di Simpang Tiga Kg Gua, Kuala Lipis, Persimpangan Keluar Padang Tengku, Kechau Tui, Chegar Perah, Kg Kubang Rusa dan sepanjang lebih 60 km lebuh raya yang menjadi laluan utama perantau yang ingin pulang ke Merapoh, Kuala Berang dan majoritinya ke Kelantan.

Bermula jam 8 pagi hingga 3 petang mereka melupakan seketika kegembiraan beraya di kampung halaman dan terus bertugas dalam operasi khas ini.

Isu ini menjadi tular apabila beberapa laman sosial utama Facebook di negara ini dan turut tersebar ke banyak grup Whatsapp menunjukkan sampah sarap yang bersepah di sepanjang lebuh raya ini dan netizen mulai mengutuk sikap perantau serta rakyat Kelantan. Walaupun hanya segelintir sahaja yang bersikap sebegini, namun kesannya dirasai oleh semua pihak.

Bertolak dari situ, pihak Jabatan Amal bersama dengan NGO Kelantan Care memulakan rancangan untuk menjayakan operasi khas ini. Malahan turut menghubungi dan memohon bantuan daripada Jabatan Amal Malaysia Kuala Lipis.

Hadir mengetuai Jabatan Amal Malaysia Negeri Kelantan adalah Tuan Nik Asmawie Nik Abdullah, manakala Jabatan Amal Kuala Lipis diketuai oleh Tuan Ahmad Syukri Mohamad. Turut bersama adalah Nazman Che Iberahim, Pengerusi Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Tarmizi Abd Rahman, Ketua Pemuda PAS Kawasan Gua Musang dan Ustaz Roslan, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Lipis.

Harapan kami adalah agar pada masa hadapan, semua lapisan masyarakat dapat mengubah sikap serta sama sama menjaga kebersihan alam sekitar. Ia adalah norma hidup masyarakat timur dan lebih penting lagi ia adalah tuntutan agama Islam. – HARAKAHDAILY 28/6/2017

SampahAmal 6

SampahAmal 5

SampahAmal 4

SampahAmal 3

SampahAmal 2