Menyayangi Mahfuz bukan menyampahkan PAS

LUMAT saya dibalun oleh orang-orang yang kasihkan PAS dan yang mahu menjauhkannya dari PAS kerana saya berpandangan elok dan berkata elok tentang Mahfuz sebagai dia aktivis dan pemimpin PAS yang terkenal.
      
Saya berkata elok tentngnya dan mengiranya ada kelebihan dalam hal-hal tertentu dibanding dengan orang-orang PAS lain, bukanlah saya menghampaskan sekalian orang PAS. Orang PAS itu sepanjang zaman adalah elok belaka kerana mereka menolak tawaran kemewahan demi menegakkan kedaulatan Islam yang suci.
      
Ada yang mati dan cedera kerana mempertahankan PAS yang memperjuuangkan Islam. Mereka itu tentulah ada kelebihannya dari orang PAS bertaraf pemimpin yang tidak sehelaipun bulu roma gugur kerana berjuang dalam PAS. Tidaklah yang tidak gugur bulu roma itu rendah dari yang mati dan cedera itu. Masing-masing ada peranan dan ada kelebihan.
      
Jika kita membincang topik ulama, maka kita kena kata elok tentangnya. Tidaklah bererti yang profesional itu leceh dan rendah dari yang lain. Bila kita mengulas tentang pemacak bendera PAS di puncak bukit yang tinggi tidak bererti geng ustaz tak berguna langsung.
       
Sekalipun TG Nik Abdul Aziz dan Ustaz Fadzil Noor itu antara pemimpin PAS yang hebat, tetapi ada kelebihan Mahfuz mengatasi kedua-duanya. Bila disebut umum begitu, tidak Mahfuz itu menyamai kepimpinan mereka.
       
Saya iktiraf Mahfuz sebagai orang yang ada peranan dan jasa dalam parti. Dengan latar belakang pendidikannya yang sederhana, dia dapat buat lebih baik dari sesetengah yang berpendidikan tinggi. Ustaz Fadzil yang memiliki sarjana muda di Azhar, tetapi yang ada PhD di Mesir dan Eropah menghormati padangannya.
       
Mahfuz masih ahli PAS dan masih sayangkan PAS. Dia belum jadi seperti lain-lain pemimpin PAS yang meninggalkan PAS. Dia sedang melalui satu tempoh berkabung. Dalam tempoh ini dia jadi seperti seorang ibu yang kasihkan anak tetapi lebih suka menyusukan kera dari anak sendiri.
       
Saya suka kepadanya kerana kelincahan politiknya. PAS akan beruntung jika ramai yang sepertinya. Dia ada jasa dalam parti. Kita wajar akui baktinya. Jika Allah mencatit pahala yang cuma sebesar zarah, maka saya kira bakti Mahfuz itu tidaklah sekadar sebesar zarah saja. Demikian juga rakan-rakan yang meninggalkan PAS sepeerti Salahudin Ayub dan Mohamad Sabu dan lain-lain. Saya terus terkenang akan kebaikannya dulu.
      
Saya amat sayangkan mereka selaras dengan sayangnya saya kepada PAS dan ahli-ahli PAS yang terus istiqamah. Jika boleh saya mahu mereka kembali kepada PAS sebelum PRU14 atau sebelum mati. Biarlah semuanya mati dalam PAS.
      
Jika boleh saya mahu jadi berhati hati halus seperti Nabi Ibrahim. Amat kasih baginda kepada semua termasuk kepada bapanya, pengukir berhala. Didoakannya ayahnya mendapat keampunan, tetapi dilarang Allah, tak boleh mendoakan orang kafir.
      
Nabi Muhammad SAW sebelum wafat membisikkan ‘Ummati! Ummati!’ Demi sayangnya kepada umatnya. Umatnya itu bukanlah Islam saja. Yang tidak berimanpun umatnya juga. Antara umatnya melakukan berbagai karenah. Sekalipun mereka tidak mengikut kehendaknya dan jalannya, baginda sayangkan umatnya.
       
Saya moga-moga dapat mengikut sunnah itu, sayangkan orang-orang PAS, yang menjauhkan diri dan keluar dari PAS, yang belum masuk PAS seperti orang Umno. PAS tidak rugi jika semua bersama PAS dalam PRU14 nanti, kerana PAS sudah ada gagasan iaitu PAS Untuk Semua tentulah termasuk Mahfuz. – HARAKAHDAILY 30/6/2017

Advertisement