Membaca surat Presiden PAS dengan ‘akal pendek’

KELANTANGAN Penasihat DAP, Lim Kit Siang membidas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang jelas merupakan satu eskapisme dalam melindungi kejelikan yang dilakukan pihak beliau. Kit Siang bertindak menyerang secara angkuh untuk cuba memberi impak buruk agar umum tertumpu melihat Tuan Guru Abdul Hadi dengan imej negatif.

Advertisement

Tokoh DAP itu mentakrifkan surat terbuka Presiden PAS sebagai ‘lebih juara dan pembela’ Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam isu 1MDB. Bahkan melankolik Kit Siang terluah pada kekesalannya yang menyatakan bahawa ‘perubahan’ Abdul Hadi itu sebagai tragedi sukar dilupakan pada Ramadhan ini. Malah tegasnya, DAP berpegang teguh bahawa tidak ada agama yang menyokong rasuah dan kleptokrasi.

Kedunguan dan bebal serupa turut dipolemikkan Timbalan Ketua Pemuda PAN, Faiz Fadzil yang semakin ketara menampakkan sifat mentahnya. Berkail sejengkal, Faiz berlebih-lebihan menduga luas dan dalamnya lautan politik hingga mahu Tuan Guru Abdul Hadi menyuarakan hukum hudud kepada Najib.

Tuduh Faiz, Presiden PAS itu mendakwa negara asing yang menyiasat skandal 1MDB sebagai cubaan campur tangan asing. Beliau menempelak Ahli Parlimen Marang itu sebagai tidak bertanggungjawab dan amat menyedihkan di mana boleh mengelirukan rakyat kerana agama dijadikan perisai menutup salah laku jenayah dalam isu tersebut. Malah, Tuan Guru dikatanya naif kerana mahukan undang-undang Malaysia dalam penyelesaian isu itu.

Sifat galak seumpama juga dilahirkan beberapa individu dan penulis yang mengaku atas kepakaran tertentu. Tuan Guru Abdul Hadi dinyatakan sebagai tidak memahami terma ‘campur tangan’. Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dikatakan bertindak kerana mempertahankan maruah, undang-undang, sistem kewangan, integriti dan digniti.

Mesej seorang negarawan

Keghairahan mereka itu lebih kuah dari sudu serta ‘lebih juara dan pembela’ Amerika dari rakyat Amerika sendiri. Walhal, tidak ada sebaris ayat pun di dalam surat terbuka Tuan Guru mempertikaikan peranan dan tugas DoJ atau membela Najib. Beliau hanya memberikan nasihat yang ditujukan khas kepada parti-parti politik dalam Malaysia.

Presiden PAS menyeru agar tidak menjemput, mengundang, membuka pintu, memberi ruang, membantu, membawa keluar dan memberi maklumat kepada pihak asing berkaitan masalah dalaman negara. Malah, beliau turut menitipkan supaya bersabar dan berwaspada dengan mengingatkan mengenai kesan dan akibat dari persekongkolan tersebut.

Beliau juga mengajak untuk memahami dan menilai situasi hubungan antarabangsa lebih-lebih lagi sikap negara yang suka campur tangan dalam urusan negara lain dan dominan melebarkan Islamofobia. Selain memandang juga batas-batas sempadan hubungan antarabangsa tanpa menghakis maruah dan kedaulatan negara.

Jelas surat Presiden PAS itu mengutarakan perihal mengenai sikap, kecenderungan, tabiat dan kealpaan sendiri yang terdedah kepada manipulasi, kerakusan, kepentingan, kelicikan serta kejahatan pihak asing. Beliau hanya mengajak membetulkan diri dan isu tersebut mengikut penyelesaian negara dengan mengambil petunjuk dari Islam.

Di sebalik dolak dalik keliru

Tiba-tiba Kit Siang, Faiz dan beberapa mereka itu melenting serta merewang jauh ke Amerika dan melalut dengan penghujahan sendiri. Mereka bukan sahaja salah membaca yang tersurat, tetapi juga mesej tersirat disampaikan Tuan Guru Presiden PAS. Malah, mereka sendiri keliru dalam berpendirian apabila menggunakan terma skandal, penyelewengan, salah laku jenayah, mencuri, merompak dan bukti secara bercampur baur.

Bertambah malang, kecurangan dan pengkhianatan cuba disembunyikan Kit Siang terbongkar jua. Anaknya, Lim Guan Eng secara terangan menunjukkan sikap ‘berpihak’ kepada Amerika apabila seakan membayang sokongan serta rasa tidak bermasalah andai sekalipun negara Uncle Sam itu menggunakan tindakan ketenteraan ke atas Malaysia.

Kit Siang juga sangat tidak boleh dipercayai apabila hingga kini gagal memberikan pendirian semasanya terhadap isu kehilangan USD10 bilion pertukaran mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 1992. Amukannya ketika itu hingga menulis dua buku untuk mengukuhkan pembuktian beliau keterlibatan Dr Mahathir Mohamad dalam kehilangan tersebut.

Beliau sekali lagi mengulangi penegasan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) andai Pakatan Rakyat memerintah negara pada sidang media di Kuala Lumpur tanggal 3 Jun 2012 iaitu menjelang PRU13. Tetapi kini apabila ditubuhkan panel Siasatan Khas dan RCI untuk menangani isu tersebut, beliau dilihat lebih membisu lantaran Tun Mahathir kini adalah sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH).

Campur tangan DAP

Bukanlah lagi satu rahsia terhadap campur tangan DAP ke atas parti lain atau hal ehwal atau sempadan yang tidak sewajarnya dilanggari. DAP pernah ‘mencatur’ boneka-boneka tajaannya untuk menguasai saf kepimpinan PAS sebelum ‘ditumpaskan’ akar umbi PAS. Lalu, mereka menubuhkan pula PAN dan mengisytiharkan pembentukan PH untuk menyisihkan PAS, tetapi tetap gagal.

Akhirnya Kit Siang terpaksa menghulurkan salam perdamaian kepada Tuan Guru Presiden PAS. Tetapi setelah itu kembali menunjukkan permusuhannya apabila mahu menyaman Tuan Guru berhubung kenyataan anti-Islam. Bahkan ‘berkempen’ supaya akar umbi PAS melupakan Abdul Hadi.

Malah, parti-parti lain juga tidak terkecuali dari bayangan dan campur tangan DAP yang berlagak sebagai Abang Besar dalam PH. Namun, paling menimbulkan kemarahan adalah kebiadaban dan campur tangan DAP dalam hal ehwal agama Islam, Melayu dan terhadap Raja-raja. – HARAKAHDAILY 1/7/2017