PAS Tawau agih sumbangan kepada mangsa kebakaran

PAS Kawasan Tawau melalui Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan telah mengagihkan sumbangan makanan serta barang keperluan harian kepada lebih 1,000 mangsa kebakaran di Kampung Hidayat Batu 4, Tawau pagi tadi.

Advertisement

Seawal jam 8.00 pagi lagi seramai 35 orang anggota Jabatan Amal Malaysia Zon Tawau membantu membersihkan tapak kebakaran dan mendirikan khemah khas bagi pusat pengumpulan barang-barang sumbangan dan memudahkan mangsa kebakaran untuk mendapatkan bekalan air bersih dan makanan.

Sejumlah 250 buah rumah yang melibatkan seramai 1,500 penduduk Kampung Hidayat musnah dalam kebakaran pada 1 Julai (semalam).

Turut berada di tapak kebakaran ialah YDP PAS Kawasan Tawau, Mohamad Husain dan NYDP PAS Kawasan Tawau, Daud Jalaludin.

Mohamad berkata, PAS Tawau merakamkan takziah kepada semua mangsa kebakaran.

“Syukur ke hadrat Allah SWT kerana tiada berlaku kemalangan jiwa,” katanya ketika ditemui di khemah pengumpulan barang PAS Kawasan Tawau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah, Ustaz Abu Amin mengucapkan terima kasih kepada semua badan NGO, Persatuan Pengakap, serta seluruh masyarakat Tawau yang turut sama membantu mangsa kebakaran.

“Semoga bantuan ini dapat meringankan lagi beban keluarga dalam menyambut Syawal di mana hari kemenangan kita sebagai umat Islam setelah sebulan kita berpuasa,” katanya.

Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS sentiasa komited dan berusaha untuk melaksanakan khidmat kebajikan kepada rakyat semampunya dan berharap agar semua mangsa tabah menghadapi ujian pada bulan Syawal ini.

Turut hadir sama AJK Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan Tawau.