Ramuan herba steroid

SEBELUM ini saya dedahkan produk yang mengandungi steroid. Ubatan herba tersebut telah tersenarai dalam senarai produk yang terlarang dari pihak berkuasa KKM. Kebanyakan dari ubat yang mengandungi dadah terlarang terdiri dari ubatan yang menguatkan tenaga batin seperti viagra dan penguat tenaga seperti steroid.
.
drsuhazeliProduk yang mengandungi steroid boleh mendatangkan bahaya. Ini kerana kandungan steroid yang melebihi paras yang dibenarkan akan merosakkan organ tubuh badan kita. Steroid luaran adalah sejenis dadah sintetik yang akan menguatkan sistem hormon kita agar bertindak di sel-sel badan. Akhirnya badan kita akan terasa semakin segar. Istilah bagi orang awam, mereka akan semakin bertenaga, ringan tubuh, hilang kebas akibat saraf dan lega setelah mengambil steroid ini.
.
Secara semula jadi badan kita sendiri mengeluarkan steroid juga. Ia dibentuk oleh kelenjar adrenal (bahagian atas dengan ginjal). Kegunaan hormon steroid semula jadi ini penting dalam metabolisma gula dalam badan. Ia juga berguna dalam mencegah badan dari mengalami radang.

Advertisement

Oleh yang demikian, steroid digunakan dalam perubatan dalam kes-kes yang spesifik seperti merawat asma, lelah, alergik dan beberapa penyakit lain. Pemberian hormon steroid oleh doktor adalah dalam kadar yang tersukat dan jangka waktu yang terhad.

Kajian dari Universiti Michigan US mendapati pemberian steroid sintetik serendah 17.5 mg sehari sudah mendatang kesan negatif kepada pengguna. Seramai 548,945 pesakit telah dikaji antara 2012 hingga 2014 yang menggunakan steroid. Minimum penggunaan steroid selama 30 hari. Mereka mendapati jumlah pesakit yang mengalami sepsis (jangkitan kuman dalam darah) meningkat 5 kali ganda, tersumbat saluran darah (venous Thromboembolism) sebanyak 3 kali ganda dan patah tulang 2 kali ganda.

Steroid dalam dos yang tidak terkawal pada peringkat awalnya boleh menyegarkan badan. Tetapi diri akan merana dalam satu jangka masa tertentu. Ironinya para penjual produk tidak sesekali mengisytiharkan kandungan steroid yang mereka campur. Paling utama bagi mereka adalah mengaut laba dan keuntungan. Pengguna pula akan menempah maut.

Banyak lagi kesan negatif akibat dari pengambilan steroid yang tidak terkawal ini. Sebulan sudah cukup mengsengsarakan diri sebagaimana kajian dari Universiti Michigan tersebut.

Antara kesan sampingan negatif yang boleh timbul adalah: sistem pertahanan badan akan semakin lemah, mengakibatkan diri kita senang dihinggapi kuman; kulit kelihatan gebu, tetapi gebu akibat kulit menipis dan senang kepanasan ketika diterik panas mentari; bagi wanita, bulu yang tidak sepatutunya tumbuh akan timbul seperti misai dan sidebeng; sistem darah juga terganggu dengan paras gula akan jadi tidak menentu, tekanan darah akan meningkat; rambut senang luruh sehingga menjadi botak.

Bagi lelaki, penggunaan steroid yang berpanjangan akan menyebabkan saiz batu zakar akan mengecil, air mani tidak subur, suara makin garau. Kolesterol darah akan meningkat dan lebih menakutkan lagi, kesan steroid ini akan mengena kepada jantung, buah pinggang dan otak.

Hasil penyiasatan dari pihak farmasi, dadah sintetik steroid ini amat senang diperolehi dalam pasaran gelap. Terdapat juga para pengeluar produk yang mengadunkan steroid tanpa pengetahuan. Walaupun produk mereka telah diluluskan oleh KKM, tetapi semasa pemasaran mereka mengambil jalan singkat ini dengan mencampurkan steroid.

Jangan teratuk baru tengadah. Beringatlah sebelum kena.