Luaskan takrif dakwah

SAYA perhatikan sekarang ini orang PAS dan Umno bukan macam dulu lagi. Boleh duduk sekali dalam 1 majlis. Boleh hadir kenduri, boleh sembahyang 1 masjid. Ini menguatkan lagi persepsi PAS dengan Umno ada sesuatu.”

Advertisement

Ya! memang ada sesuatu! Dalam dunia dakwah dan politik demokrasi, kita bukan nak perambat orang pergi jauh-jauh tapi kita nak ajak orang mari bersama Islam. Berbeza dengan peperangan bersenjata, tujuan kita adalah untuk nak kalahkan dan halau musuh.

Silap besar bila orang Umno dilihat sebagai musuh, bukannya mad’u atau sasaran dakwah. Kalau kita faham bahawa orang Umno adalah sasaran dakwah, automatik kita akan tahu bahawa mereka perlu didekati dan dibuat kawan. Mana ada orang yang nak berdakwah tapi duduk jauh-jauh. Setiap hari kita buat musuh dengan mereka kemudian bila tiba masa pilihanraya, kita nak pergi rayu dia supaya undi PAS. Kalau selalu diperlakukan sebagai musuh lalu dipukul dan disakiti, bukan setakat orang malah kambing pun akan terkam dan tanduk kita balik!

Kenyataan ini orang Umno akan bantah apatah lagi PAN. Biasa saja kita dengar ungkapan, “Nak dakwah orang konon, PAS bukannya baik sangat.” Setakat kena perlekeh seperti ini, kecil sangat saja ujian dakwah.
Jangan persempitkan takrif dakwah dengan makna ceramah dan kuliah sahaja. Menyantuni orang dalam kesusahan adalah dakwah. Hadir ketika mereka memerlukan adalah dakwah. Singgah tempat pemuda Umno jual burger dan beli burger mereka adalah dakwah. Bagi duit RM10 untuk sebiji burger, tak payahlah ambil balik baki.

Ziarah orang Umno sakit di hospital adalah dakwah. Ajak mereka mari makan kenduri rumah kita adalah dakwah. Tolong bayar air dan nasi berlauk JKKK dalam kedai kopi adalah dakwah. Bawa doktor pergi ziarah rumah orang Umno sakit adalah dakwah. Menziarahi jenazah dan hantar jenazah orang Umno ke kubur adalah dakwah.

Bagi hadiah penghargaan untuk anak-anak orang Umno yang berjaya dalam peperiksaan adalah dakwah. Main bola sekali di padang bola dengan orang Umno adalah dakwah. Ajak anak-anak muda Umno ikut sekali dalam ekspedisi bermotosikal adalah dakwah. Masuk waktu kita ajak mereka solat berjamaah.

Dalam banyak-banyak cabang dan lorong dakwah, saya melihat lorong dakwah melalui kebajikan adalah yang paling sukar untuk ditolak. Bertindak lebih berkesan dari bercakap. Manusia adalah hamba kepada budi.

Dakwah pula perlu diulang-ulang dan jangan mudah rasa jemu. Ingat Almarhum Dato’ Omar Mohamad cerita dia beli buah nangka putik atas pokok rumah orang Umno. Setiap minggu dia singgah rumah orang Umno tersebut untuk nak tengok buah nangka dia. Begitulah berulang-ulang sehingga buah nangka masak dan akhirnya tuan rumah Umno masuk PAS.

Dalam dunia demokrasi setiap undi adalah dikira dan setiap undi sangat bernilai. Apatah lagi apabila bilangan ahli dan penyokong yang kita miliki belum cukup untuk memenangkan kita. Maka aktiviti yang sekadar berlegar dalam kalangan kita sesama kita adalah tidak mencukupi.

Kisah Arwah Tok Guru Nik Aziz nak dakwah seorang Umno gedeber di Bachok lebih menarik diceritakan oleh Ustaz Dr Nik Zawawi. Saya tak sebut nama orang gedeber di sini. Suatu petang lepas solat asar, Tok Guru ajak pemandu dia pergi cari rumah hamba Allah tersebut. Bila sampai di kampung kawan tu, Tok Guru singgah di kedai kopi dan tanya orang di situ, “Mano rumoh Sipolan ni?” Orang di kedai kopi bagi tahu jalan dan nak pergi rumah kawan tu. Tok Guru naik kereta dan berhenti di sebuah lagi kedai kopi lalu tanya soalan yang sama. Bila diberitahu arah jalan, Tok Guru naik kereta dan singgah di kedai kopi yang ketiga dengan soalan yang sama. Lepas tu Tok Guru naik kereta dan ajak pemandu dia balik.

Hairan pemandu Tok Guru. Kata nak pergi cari hamba Allah orang gedeber tersebut. Tapi ajak balik pula. Tok Guru kata, “Tak apa… dia akan mari jupo kito.”

Kebetulan hamba Allah yang Tok Guru buat acah-acah cari petang tersebut keluar ke kedai kopi yang Tok Guru singgah tadi. Orang ramai bagitahu, “Tok Guru Nik Aziz ada mari cari demo takdi. Jupo ko dok?” Terkejut besar kawan ni bila Tok Guru merangkap Menteri Besar Kelantan mari cari dia. Ada kerja apa?
Esoknya belum subuh lagi dia dah sampai masjid Pulau Melaka. Sembahyang subuh dan nak jumpa Tok Guru. Lepas sembahyang, dia pergi salam dengan Tok Guru tanya sebab apa Tok Guru cari dia petang kelmarin. Tok Guru jawab, “Saja cari nak tanyo khabar, nak buat saing…”

“Allah… Tok Guru nak buat saing dengan ambo. Ambo ni bukan orang baik Tok Guru.” jawab kawan tu.

“Tak apa… ambo buleh bersaing belako dengan sapo-sapo pun.” jawab Tok Guru.
Menangis kawan tu dengar kata-kata Tok Guru. “Selama ni orang kampung pandang ambo ni jahat, pakat tak sir buat saing belako ngan ambo. Tapi Tok Guru nak buat saing. Kalu gini ambo nak masuk PAS Tok Guru!” – HARAKAHDAILY 3/7/2017